Eksport, harga minyak kelapa sawit naik, kata menteri


Chan Kok Leong

Bermula Disember tahun lepas sehingga Februari, harga minyak kelapa sawit mentah naik kepada RM2,122 setan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2019.

EKSPORT minyak kelapa sawit mentah (CPO) naik 10.5% dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas, kata Teresa Kok.

“Antara kenaikan eksport ialah dari India (65%), China (62%), Mozambique (93.5%), Korea Selatan (46.3%), Amerika Syarikat (20.3%) dan Nigeria (2.3 kali ganda),” kata menteri industri utama di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata harga bagi Januari dan Februari juga menunjukkan peningkatan.

“Pada Disember, harga adalah RM1,794.50 setan, manakala Januari ialah RM2,037 dan Februari ialah RM2,122,” kata Kok semasa sesi soal jawab hari ini.

Kok menjawab soalan Ronald Kiandee (Beluran-PH) mengenai usaha kerajaan dalam meningkatkan penggunaan biodiesel.

“Tahun ini, kita dijangka membakar 710,000 tan biodiesel B10, peningkatan dari tahun lepas,” kata Kok.

Namun, menteri itu tidak menyatakan sasaran untuk penggunaan bio bahan api.
Beliau kemudian ditanya oleh ahli Parlimen Barisan Nasional sama ada terdapat kenaikan harga minyak sawit.
Sementara itu, Kok berkata Kementerian Industri Utama memperuntukkan dana RM1 juta untuk menggalakkan penubuhan lebih banyak koperasi.

“Kami memberikan RM100,000 kepada Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) sebagai modal kerja. Kami mahu menggalakkan lebih banyak koperasi membeli daripada pekebun kecil dan menghapuskan orang tengah yang mengeksploitasi pekebun kecil,” kata Kok.

Beliau memberi respons kepada cadangan Yusuf Abd Wahab (Tanjung Manis-GPS) bagi kerajaan untuk menggalakkan pemborong menawarkan harga lebih tinggi kepada pekebun kecil apabila membeli kelapa sawit tandan. – 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen