PENGGANTUNGAN operasi kesemua Boeing 737 Max 8 tertakluk kepada laporan siasatan tragedi melibatkan penerbangan menggunakan model pesawat tersebut, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Oleh itu, kesemua pesawat Boeing 737 Max 8 tetap tidak dibenarkan melalui ruang udara atau melakukan penerbangan transit ke negara ini, katanya.
Tambahnya, laporan berhubung dua nahas kemalangan membabitkan pesawat itu dijangka akan dikeluarkan dalam tempoh lima bulan.
“Buat masa ini kita masih belum ada sebarang keputusan, ia bergantung kepada siasatan berhubung nahas dua pesawat itu dan saya fikir ada juga siasatan dari pihak antarabangsa.
“Jadi kita akan ikut dengan rapat perkembangan tersebut dan akan buat keputusan dari masa ke semasa,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Selasa lalu Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), Ahmad Nizar Zolfakar mengesahkan operasi pesawat Boeing digantung sehingga diberitahu kelak.
Beliau juga mengesahkan Malaysia tidak mempunyai sebarang syarikat penerbangan yang beroperasi menggunakan Boeing 737 Max 8.
Dua pesawat Boeing 737 Max 8 terhempas sejak Oktober lalu, yang dikaitkan dengan perisian komputer dalam pesawat berkenaan.
Satu penerbangan Ethiopian Airlines terhempas pada mingglu lalu dan penerbangan Lion Air terhempas di Indonesia pada Oktober. – 21 Mac, 2019.
Komen