Himpunan solidariti mangsa serangan Christchurch masih perlu kebenaran polis


Asila Jalil

Memetik Akta Perhimpunan Aman 2012, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata setiap individu yang mahu menganjurkan perhimpunan perlu mendapatkan kebenaran polis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan diadakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Mac, 2019.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa masih perlu dapatkan kebenaran dari pihak polis bagi perjimpunan solidariti untuk mangsa serangan pengganas di Christchurch, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Memetik Akta Perhimpunan Aman 2012, Muhyiddin berkata setiap individu yang mahu menganjurkan perhimpunan perlu mendapatkan kebenaran polis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.

“Tidak kiralah siapa yang mahu anjur (perhimpunan), kena ikut peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Tiada yang terkecuali, mereka kena maklumkan polis 10 hari sebelum perhimpunan,” beliau memberitahu pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin mengulas mengenai Perhimpunan Solidariti Kedamaian yang akan diadakan Sabtu ini di Kuala Lumpur.

Mujahid yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, menyeru satu perhimpunan diadakan berhubung kejadian serangan tembakan oleh pelampau kulit putih di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Perhimpunan itu katanya untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia menolak fahaman kebencian dan bersatu hati dalam solidariti sempena kejadian yang meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa orang Islam yang mahu menunaikan solat Jumaat.

Mujahid berkata keputusan untuk mengadakan perhimpunan itu dibuat selepas mesyuarat khas antara pelbagai kaum dan etnik di Kuala Lumpur.

Beliau juga berkata perhimpunan tersebut bukan bermotifkan politik dan menasihatkan peserta supaya tidak memakai pakaian yang mempunyai logo parti. Setiap peserta himpunan diminta memakai pakaian berwarna putih.

Simbol merpati putih berlatar belakangkan bunga raya akan digunakan sebagai simbol kedamaian, katanya.

Perhimpunan bermula jam 7 pagi itu akan diadakan di hadapan pusat membeli-belah Sogo dan berakhir di Dataran Merdeka.

Mujahid berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin pembangkang dijemput hadir. – 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen