Brazil belum buat keputusan pindah kedutaan ke Baitulmaqdis


Presiden Brazil Jair Bolsonaro masih mempertimbangkan keputusan memindahkan kedutaan di Israel ke Baitulmaqdis. – Gambar EPA, 21 Mac, 2019.

BRAZIL “masih mengkaji” pemindahan kedutaannya di Israel ke Baitulmaqdis, kata diplomat tertinggi Brazil semalam, beberapa hari sebelum Presiden Jair Bolsonaro dijangka melawat negara itu.

Selepas mengambil alih kuasa pada Januari, Bolsonaro mengulangi ikrar untuk mengikut jejak langkah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memindahkan kedutaan dari Tel Aviv.

Tetapi kerajaan berhaluan kanannya bertukar keputusan susulan kebimbangan ia menjejaskan eksport daging Brazil untuk pasaran Arab.

Kenyataan terbaru Menteri Luar Ernesto Araujo, bagaimanapun berkata cadangan kontroversi itu masih diperbincangkan.

“Isu Baitulmaqdis sangat penting. Ia sebahagian daripada kemungkinan intipati hubungan baharu dengan Israel, kita masih mengkaji cara (keputusan) akan diambil,” kata Araujo kepada wartawan.

Perpindahan itu mestilah sejajar dengan “dasar lain di rantau ini untuk menjelaskan bahawa, jika terjadi, ia akan menjadi tindakan positif, sebagai sebahagian daripada sumbangan keamanan dan kestabilan Brazil,” katanya.

Bolsonaro, yang berada di AS minggu ini bagi perbincangan dengan Presiden Donald Trump sebelum ke Chile, dijangka melawat Israel dari 31 Mac hingga 2 April ketika beliau berusaha memperkukuhkan hubungan dengan pemerintah ultra konservatif di seluruh dunia.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menghadiri pelantikan rasmi Bolsonaro pada 1 Januari di Brazil.

Keputusan memindahkan kedutaan sangat sensitif kerana Israel menuntut kesemua bahagian Baitulmaqdis sebagai ibu kota, sementara Palestin melihat Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Hampir semua negara bersetuju status Baitulmaqdis hanya boleh ditakrifkan melalui perundingan perdamaian Israel-Palestin yang lebih meluas.

Setakat ini, hanya AS dan Guatemala melanggar perjanjian dengan membuka kedutaan di Baitulmaqdis.

Paraguay menarik balik keputusan memindahkan kedutaannya tahun lepas. Israel dan AS sudah berbincang dengan Honduras mengenai permindahan kedutaannya ke Baitulamqdis. – 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen