SEORANG warga Palestin ditembak mati pada petang Rabu di Tebing Barat yang diduduki, kata sumber perubatan negara itu, dengan tentera Israel mengatakan seorang askar melepaskan tembakan selepas keretanya dilempar batu.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata Ahmed Manasara, 26, ditembak mati berhampiran pusat pemeriksaan dekat Bethlehem, tanpa memberikan butiran lanjut.
Tentera Israel mengatakan seorang askar “telah melepaskan tembakan selepas mengenal pasti batu dilemparkan kepada kenderaan Israel.”
“Insiden itu akan diteliti,” kata pihak tentera dalam satu kenyataan pada awal Khamis.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa mengatakan Manasara berada di dalam kereta ketika beliau ditembak mati, dengan seorang rakyat Palestin di dalam kereta itu cedera parah.
Kematian Manasara berlaku sehari selepas dua penduduk Palestin terbunuh dalam pertempuran berhampiran Nablus ketika ketegangan di Tebing Barat semakin meningkat menjelang pilihan raya umum 9 April di Israel.
Serangan Palestin terhadap askar dan penduduk Israel berlaku sesekali di Tebing Barat, yang diduduki Israel sejak Perang Enam Hari 1967. – AFP, 21 Mac, 2019.
Komen