SESIAPAPUN mungkin menjadi ekstremis. Tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Kita mudah jadi ekstremis sebab agama.
Kadangkala agama pendorong keganasan. Agama wadah manusia jadi taasub dan fanatik. Kerana setiap penganut mahu menegakkan kepercayaan masing-masing. Terorisme, ekstrimisme, dan radikalisme lahir menghiasi ruang publik “atas-nama” agama – ideologisasi. Justeru, teroris muncul dari ideologisasi agama.
Sebenarnya, agama mengajar cinta, kasih sayang, kebajikan, kedamaian, dan mengasihi nilai-nilai persaudaraan kemanusiaan. Yang ajar keganasan cuma ideologisasi agama yang direka-reka atas nama emosi agama.
Itu bukan pesan agama sebenar. Kerana agama tidak bertentangan dengan kemanusiaan. Maka, jangan mudah terpedaya pada muluk-muluk agama!
Akhirnya dicanang-canangkan Islam kaffah itu bukanlah memasuki kedamaian. Sialnya, mereka sebar kekerasan, perkauman, kebencian sekaligus memandang rendah agama lain. Kenal Tuhan bukanlah dengan jalur keganasan. Jauh sekali obses menjadi ekstremis.
Terorisme tidak wujud pada sifat Tuhan kepada manusia. Sebaliknya sifat ar-rahmah dan ar-rahim sebagai manifestasi citra Tuhan kepada umat-Nya. Keganasan lahir dari sifat melampaui batas kerana gagal bersederhana.
Nabi pesan supaya bersederhana, jangan melampau batas. “Sebaik-baik perkara adalah tengah-tengahnya (sederhana).” (Hadis riwayat Baihaqi)
Jadi, kenapa beragama boleh menjerumus ke lembah terorisme?
Sebahagian umat jadi ekstremis kerana mengideologisasikan Islam. Bukan Islam kebenaran – kedamaian – tasawuf. Umat Islam lebih gemar memahami Islam yang bercorak identiti, perkauman sempit, fikah sempit dan mazhab berasaskan ideologisasi berbanding menyelami kemanusiaan.
Agama sebenarnya mengajak pemeluknya bersilaturahim, berfikir kedamaian, keadilan, demokratis, dan menjunjung hak asasi manusia.
Dalam konteks menanggapi kemodenan kosmopolitan, di samping dunia dipenuhi perkauman, berperang mengorbankan jiwa dan raga serta mencabuli kehormatan hak asasi.
Namun, perdamaian terbuka lewat pintu sufisme – fahaman yang mengalir cinta kasih dalam setiap agama untuk saling menghargai, menghormati, dan berdampingan rukun budaya, aliran dan agama.
Umat tidak peduli sufisme
Realitinya, obses umat pada tasawuf tidak gah seperti fikah dan teologi. Sebahagian umat masih syariah-minded atau atau fikih-oriented yang menekankan ajaran agama dogmatis, literal dan eksklusif. Menumpu penghayatan luaran, struktur, formaliti dan bentuk.
Sedangkan Islam sufistik lebih lentur dan lembut untuk menghadirkan nilai-nilai ajaran Islam – penghayatan batiniah seseorang hamba kepada Tuhan – sufism-oriented.
Kerana fikah sahaja tidak menawarkan kepasrahan terhadap kecintaan tuhan dan manusia. Teologi juga tidak dapat memenuhi rukun keberagamaan akibat sikap eksklusif dan memegang kunci kebenaran.
Maka fatwa agama dipengaruhi fikah dan teologi sempit berbanding keluasan nilai kemanusiaan dari ajaran tasawuf. Dari sinilah bibit fanatisme dan ekstremis tumbuh – terorisme.
Walhal dinamik tasawuf menyelongkar batas kebenaran antara fikah dan teologi – ajaran cinta dan kemanusiaan yang satu. Benar, tradisi sufistik jauh lebih humanis.
Kata seorang sufi, Maulana Rumi, tasawuf mengajar manusia saling mencintai dan menghormati semua makhluk alam semesta.
Barang tentu ajaran tasawuf menumpukan cinta dan kasih sayang. Tasawuf tidak mengajar penganutnya melakukan kekerasan, apalagi menghilangkan nyawa orang lain. Sebaliknya, tasawuf mengajar cinta.
Malangnya, terdapat umat menganggap tasawuf mundur. Bagi mereka, tasawuf tidak lebih mengenai kezuhudan. Kadangkala mereka memaknai tasawuf dengan simbol jubah, butir tasbih, dan kumpulan tarekat.
Tasawuf digambarkan kumpulan kerohanian yang asyik dibuai zikirullah sehingga menjauhi kehidupan duniawi – fokus kehidupan akhirat.
Meskipun ada tuduhan tasawuf tidak relevan dengan kemajuan zaman, pandangan itu salah. Walhal tasawuf canggih dan moden. Kita sahaja sempitkan minda akibat dikaburi fikah dan teologi.
Padahal, membudayakan tasawuf penting untuk menangkis terorisme. Lebih-lebih lagi di tengah-tengah kekacauan dan kemunduran akhlak umat hari ini.
Umat salah tafsir tasawuf. Umat masih merelakan tasawuf sebagai objek yang dapat ditunggangi ideologisasi agama, perkauman dan kekuasaan.
Sebahagiannya menjadikan tasawuf sebagai kambing hitam ke atas kerakusan kuasa dan politik. Seperti candu demi melemahkan umat agar tunduk, reda, dan pasrah terhadap kezaliman.
Kegagalan mengajar tasawuf melahirkan umat reda dengan terorisme. Tasawuf bukanlah mengajar umat bangkit membalas sifat teror dengan emosi dan kekerasan tetapi tasawuf mencipta wajah agama penuh mahabbah (cinta) dan damai bahkan mencorakkan dunia lebih damai lagi beradab.
Bukan merelakan aksi keganasan atas nama agama, aliran dan bangsa.
Tasawuf jalan kedamaian
Sudah pasti tasawuf adalah subjek yang membentuk keluasan paradigma berfikir kemanusiaan. Maka pegangan kita terhadap fikah, teologi dan sikap selari dengan korpus kemanusiaan – tasawuf. Bukan ego kerana kepentingan kuasa, politik mahupun agama.
Takut-takut, terlalu obses kepada fikah dan teologi mengakibatkan wajah peradaban jadi suram. Walhasil, menumpukan fikah dan teologi sahaja belum tentu menggapai cinta Tuhan.
Bimbang umat lagi jauh dengan Tuhan gara-gara sikap keras dan angkuh mahu mempertahankan kebenaran fikah dan pegangan teologi masing-masing lalu menjurus umat kepada sikap teror.
Sebaliknya, bertasawuf membawa jalan menuju cinta Tuhan sekaligus mencapai ketinggian akhlak.
Sebagaimana disebutkan Mistisisme Islam oleh Annemarie Schimmel melalui Mystical Dimensions of Islam, nilai akhlak wujud dalam praktik sosial yang mengamalkan tasawuf.
Sikap itu terbit daripada jiwa suci dari pengotoran oleh perselisihan atau pertelingkahan. Maka tasawuf membebaskan terorisme dari menunggang fikah dan teologi.
Belajarlah daripada sejarah. Kerana taasub agama dan politik di tengah-tengah polemik fikah dan teologi, akhirnya berlaku sikap terorisme – pertumpahan darah.
Sikap teror bukan sesuatu yang baharu. Sudah terjadi pada sejarah keagamaan.
Polemik berasaskan tafsiran dalil teologi dan fikah sempit yang membuang tasawuf telah menjadikan kejadian teror berleluasa dalam sejarah Islam.
Peristiwa peperangan kelompok ekstremis umat berdasarkan aliran pemikiran, politik dengan doktrin dogmatis seperti Syi’ah, Khawarij, Murji’ah, dan pendukung Mu’awiyah menjadi asbab pertumpahan darah.
Sikap fanatisme lahir dari jiwa yang gagal menghayati semangat kemanusiaan. Sikap mahu menegakkan ajaran masing-masing sebagai paling benar.
Ini disebut oleh pemikir Islam Shadr al-Din al-Syirazi sebagai harb al-khid’ah (peperangan kecurangan) – kata-kata dan kelicikan sebagai hujah kebenaran bukan kebenaran dari hati yang suci. Kerana hati mereka sudah mati akibat sikap fanatisme.
Mujurlah ada beberapa sekelompok sahabat mengasingkan diri mengambil jalan tasawuf. Menolak kekerasan pertumpahan darah dek kepentingan politik dan perang saudara.
Sebagaimana dicontohi oleh sahabat nabi Usamah ibn Zaid, Abdullah ibn ‘Umar, Muhammad ibn Maslamah al-Ansari, Sa’ad ibn Abi Waqas dan Sa’ad ibn Mallik.
Pilihan mereka atas dasar cinta kasih. Merekalah kelompok yang berusaha mendamaikan pertelingkahan dan peperangan antara dua pihak dengan jalan cinta dan kedamaian – menolak terorisme dan memilih kedamaian.
Sudah tentu masalah seperti terorisme dapat dibendung oleh jiwa dan hati yang suci. Pilihlah, antara mahu jadi manusia yang sukakan kedamaian atau memilih menyebar kekerasan.
Jika miliki hati yang bersih, tanpa ragu kita pasti memilih kedamaian. – 21 Mac, 2019.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen