NASIB malang dialami Boeing 737 MAX dan pengawal selia persekutuan akan disiasat dalam siasatan awam pertama oleh Kongres susulan dua kemalangan pesawat maut beberapa bulan kebelakangan ini.
Senator Texas Ted Cruz, daripada parti Republikan, meminta pendengaran sidang jawatankuasa kecil Perdagangan dan Penerbangan pada 27 Mac, dengan tiga pegawai pengangkutan terutama pemangku ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).
Cruz berhasrat mengadakan pendengaran kedua untuk menyoal pegawai Boeing serta juruterbang dan lain-lain dalam industri itu, menurut kenyataan itu.
Lebih 300 orang terbunuh dalam dua kemalangan 737 MAX 8 yang berlaku sejurus ia berlepas dari Indonesia pada Oktober dan di Ethiopia awal bulan ini.
Boeing dan FAA sedang disiasat oleh Jabatan Pengangkutan berhubung bagaimana pelancaran jet itu dikendalikan, terutama sistem baharunya, MCAS, yang terlibat dalam kemalangan Lion Air pada Oktober.
Juruterbang mengadu mereka tidak dimaklumkan mengenai sistem baharu, yang boleh menyebabkan muncung pesawat itu terjunam jika ia memperoleh bacaan salah daripada sensor yang menjadikan enjin pesawat berisiko terhenti.
Jawatankuasa ini akan mendengar minggu depan daripada Ketua Pemangku FAA Daniel Elwell, serta Ketua Penyelidik Jabatan Pengangkutan, Calvin Scovel, dan Pengerusi Lembaga Pengangkutan Negara Robert Sumwalt.
FAA berkata semalam ia akan mengkaji semula maklumat perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan daripada kemalangan Ethiopian Airlines.
“Memahami keadaan yang menyumbang kepada kemalangan ini adalah penting untuk tindakan selanjutnya dan membenarkan pesawat kembali berkhidmat,” kata FAA. – AFP, 21 Mac, 2019.
Komen