Ratusan iringi majlis pengebumian mangsa tembakan Christchurch


REMAJA yang bercita-cita untuk bermain dengan pasukan Manchester United adalah antara mangsa terbaru pembunuhan di dua masjid New Zealand yang dikebumikan pada Khamis.

Ratusan berduka, termasuk pelajar sekolah berkumpul hadir pada majlis pengebumian penuh emosi kepada Sayyad Milne, remaja lelaki berusia 14 tahun yang merupakan seorang daripada 50 mangsa yang terkorban pada Jumaat lalu dalam kejadian tembakan rambang oleh seorang pengganas.

Ayah Sayyad, John Milne, berkata anaknya ditembak mati ketika bersembahyang di Masjid Al Noor.

Milne, yang hadir pada majlis pengebumian, sebelum ini menyifatkan anaknya seorang yang baik dan istimewa yang ingin bermain untuk kelab bola sepak di utara England.

Seruan “Allahu Akbar” kedengaran melalui pembesar suara memberi isyarat upacara bermula.

Tariq Omar, warga tempatan berusia 24 tahun yang melatih pasukan bola sepak junior, turut dikebumikan pada Khamis.

Media tempatan melaporkan Omar dihantar ke Masjid Al Noor pada hari kejadian oleh ibunya yang terselamat kerana mencari tempat letak kereta ketika serangan bermula.

Pengarah Akademi United Christchurch, Colin Williamson menggambarkan Omar sebagai “seorang lelaki yang baik dengan hati luar biasa dan cinta terhadap bidang kejurulatihan”.

Ahli keluarga mangsa menunggu dengan bimbang untuk menerima mayat insan tersayang ketika penyiasat jenayah dan ahli patologi bergegas untuk mengenal pasti setiap mangsa secara rasmi.

Majlis pengebumian hanya bermula pada Rabu yang dimulai enam mangsa tembakan, termasuk seorang bapa dan anak lelakinya yang merupakan pelarian dari Syria.

Warga New Zealand mengutuk serangan itu, keluar dalam jumlah yang besar sama-sama berdoa berdoa dan berkabung, terutama di Christchurch yang masih dihiasi dengan bunga, kad dan penghormatan.

Tetapi pembunuhan itu juga mencetuskan perdebatan mengenai undang-undang senjata api negara yang agak longgar dan sama ada perkhidmatan perisikan mencukupi untuk menentang ancaman pelampau berkulit putih.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berikrar memperketatkan undang-undang senjata api tetapi belum mengeluarkan butir jelas mengenainya. – AFP, 21 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen