Enam polis maut dalam serangan militan di Pakistan


Sekurang-kurangnya enam anggota polis Pakistan dilaporkan maut dalam serangan hendap ke atas sebuah pusat pemeriksaan di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan semalam. – Gambar EPA, 20 Mac, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA enam anggota polis Pakistan dilaporkan maut dalam serangan hendap ke atas sebuah pusat pemeriksaan di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan semalam.

Serangan berlaku di kawasan pergunungan Sanjawi di daerah Ziarat, kira-kira 80 kilometer di timur ibu kota Quetta.

“Ia satu serangan mengejut. Penyerang datang menaiki motosikal dan membunuh semua anggota polis yang sedang bertugas,” kata pegawai kanan kerajaan di Ziarat, Qadir Bakhsh kepada AFP.

Bakhsh berkata, penyerang menggunakan senjata automatik dan melarikan diri selepas melakukan serangan pada awal pagi semalam.

Sementara itu, militan Taliban di Pakistan menerusi emel dihantar kepada media mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan terbabit.

Seorang lagi, pegawai kanan kerajaan Faisal Agha turut mengesahkan serangan terbabit dan jumlah mangsa yang terkorban.  – AFP, 20 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen