Trump lantik Stephen Dickson terajui FAA


Pengumuman Presiden AS Donald Trump itu di tengah-tengah langkah FAA untuk memberikan kelulusan ke atas pesawat Boeing 737 Max.– Gambar EPA, 20 Mac, 2019 

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melantik Stephen Dickson sebagai ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan Rumah Putih pada Selasa.

Bekas juruterbang Tentera Udara dan eksekutif Delta Air Lines itu akan memegang jawatan berkenaan selama lima tahun.

Di samping itu beliau turut bertanggungjawab menjadi pengerusi Jawatankuasa Lalu Lintas Udara di bawah Jabatan Pengangkutan.

Pelantikan itu perlu mendapat kelulusan Senat. 

Pengumuman Trump itu di tengah-tengah langkah FAA untuk memberikan kelulusan ke atas pesawat Boeing 737 Max .

Terdahulu pada Selasa, Elaine Chao, setiausaha pengangkutan AS menghantar permohonan rasmi supaya FAA menjalankan pemeriksaan pensijilan ke atas pesawat Boeing.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Boeing menyebut pihaknya akan memberikan kerjasama penuh berhubung perkara itu.

Pada Isnin penyiasat penerbangan Perancis dilaporkan berkata terdapat “persamaan jelas” antara nahas pesawat penerbangan Ethiopia Airlines pada awal bulan ini dengan kemalangan pesawat Lion Air tahun lepas.

Dickson bersara dari Delta sebagai naib presiden kanan operasi penerbangan tahun lepas.

Beliau merupakan lulusan Akademi Tentera Udara AS dan pernah menjadi juruterbang pesawat juang F-15. – Bernama, 20 Mac, 2019 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen