Malaysia rugi RM64 juta dalam tempoh 3 bulan kerana jenayah siber 


Alfian Z.M. Tahir

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Mazlan Mansor ketika bercakap kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di Cyberjaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Mac, 2019

JENAYAH siber menyebabkan negara menanggung kerugian sebanyak RM64 juta pada tiga bulan pertama tahun ini, dalam trend meningkat, kata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Mazlan Mansor.

Beliau berkata, polis menjangkakan kerugian lebih besar tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

“Pada 2017, kerugian sebanyak RM266 juta direkodkan daripada jenayah siber. Tahun lalu kerugiannya sebanyak RM398 juta. Ia peningkatan yang besar,” katanya pada sidang media di Putrajaya selepas mengadakan mesyuarat bersama pasukan penguatkuasa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Cyberjaya hari ini.

“Tahun ini sahaja dalam tempoh tiga bulan, kita merekodkan kerugian sebanyak RM64 juta dan saya jangkakan angka itu akan terus meningkat.”

“Masalah dengan masyarakat kita ialah mereka terlalu mudah percaya dengan janji dan mereka percaya apa yag ditawarkan tanpa ragu-ragu,” kata Mazlan merujuk kepada sindiket penipuan dalam talian.

Menurut Mazlan, ramai yang terjebak dengan penipuan “Macau Scam”, yang mana mangsa akan menerima panggilan telefon daripada seseorang yang menyamar sebagai pegawai bank, pegawai kerajaan atau pengutip hutang yang memberitahu mereka bahawa mereka berhutang wang atau memiliki saman tertunggak.

“Macau Scam sangat besar. Ramai anggota masyarakat yang tertipu dengan penipuan ini, walaupun telah banyak maklumat dan nasihat daripada pihak polis dan SKMM,” tambah Mazlan.

Mazlan berkata, pertemuannya bersama pegawai penguatkuasa SKMM adalah bagi membincangkan lebih banyak cara untuk memerangi penipuan dalam talian dan mengekang berita palsu. 

Tambah Mazlan, CCID turut bekerjasama rapat dengan SKMM berhubung penyebaran berita yang tidak sahih. 

“Kerjasama antara kami sudah lama terjalin. Kami hanya menjadikannya rasmi hari ini. Banyak topik yang dibincangkan, antaranya memerangi sindiket judi dalam talian. 

“Kami sedang mengkaji bagaimana untuk mengesan dan membuat tangkapan terhadap mereka yang membuat komen jahat di media sosial dan mereka yang sebarkan berita palsu,” katanya. – 20 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen