RANCANGAN Putrajaya menubuhkan mahkamah khas untuk mendengar kes rasuah tidak ada kena mengena dengan perbicaraan bekas perdana menteri, Najib Razak, kata Liew Vui Keong.
Menteri Undang-undang itu berkata, cadangan itu dibuat selepas mengambil kira kesibukan mahkamah sedia ada.
“Perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh perdana menteri semalam. Terdapat pandangan bahawa mahkamah sedia ada sibuk dengan kes lain.
“Jadi ada keperluan untuk menubuhkan mahkamah khas untuk menangani kes rasuah. Semua ini untuk kes rasuah, bukan untuk mempercepatkan kes Najib,” katanya dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.
Liew ditanya sama ada benar kerajaan merancang menubuhkan mahkamah khas berikutan kes Najib seperti yang didakwa di media sosial.
“Mahkamah khas itu untuk semua kes rasuah. Sesetengah mahkamah dan hakim ada banyak kes untuk dikendalikan.
“Kami mahu hakim yang kendalikan kes rasuah untuk memberi tumpuan kepada kes tersebut,” katanya.
Walaupun tidak mempunyai masa untuk penubuhan mahkamah ini, diharapkan ia dapat dilakukan secepat mungkin.
“Kami akan melihat lebih lanjut dan melantik hakim khas untuk mahkamah baharu di seluruh negara,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, mahkamah khas akan mempercepatkan prosiding kes rasuah sejajar dengan matlamat anti-rasuah kerajaan.
Sementara itu Liew berkata pengubahsuaian dan pembaikan Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang merupakan bangunan warisan penjajah akan menelan kos RM17 juta.
Bangunan utama dimeteraikan kerana mengalami kerosakan dan ruang sidang dipindah ke bangunan tambahan.
“Terdapat beberapa isu dengan struktur dan siling. Kayu juga sudah reput dimakan anai-anai.
“Jabatan Kerja Raya akan membuat laporan forensik akhir untuk pengubahsuaian dan pembaikan,” katanya selepas meninjau kompleks berkenaan. – 20 Mac, 2019.
Komen