Liew akan bincangkan status Akta Hasutan dengan Muhyiddin 


Looi Sue-Chern

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata sama ada akta berkenaan akan dimansuh atau sebaliknya masih dalam proses.– Gambar The Malaysian Insight, 20 Mac, 2019

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berhubung sama ada polis boleh gunakan Akta Hasutan.

Kenyataan kedua-dua menteri terbabit bercanggah mengenai penggunaan akta itu. 

Semalam, Liew di Dewan Rakyat berkata, polis sudah dimaklumkan untuk mengelakkan daripada menggunakan akta berkenaan ketika kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memansuhkannya.

Namun pagi ini, Muhyiddin dilaporkan berkata polis masih boleh gunakan Akta Hasutan untuk tangkapan dan siasatan, walaupun dengan budi bicara. 

“Saya akan berbincang dengan Muhyiddin mengenai perkara ini bagi memastikan hala tuju, memandangkan kerajaan masih pertimbangkan untuk mansuhkan akta itu,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang. 

“Saya akan bincang dengan beliau untuk keputusan muktamad. Kami ada mesyuarat kabinet pada Jumaat.”

Persoalan sama ada Akta Hasutan – yang disifatkan oleh kumpulan sivil, peguam dan ramai lagi dalam Pakatan Harapan sebagai undang-undang “drakonian” – akan dimansuhkan atau tidak masih dalam proses, tambah Liew. – 20 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen