TIGA petani terbunuh dan seorang hilang selepas terhidu gas beracun di dalam sebuah lubang saluran air di Maharashtra, barat India lapor agensi berita Xinhua.
Ketika kejadian petani sedang menjalankan kerja menyalurkan air untuk tanaman mereka di daerah Chikalthana, Aurangabad kira-kira 348 kilometer timur laut Mumbai, ibu kota Maharashtra.
“Kami berjaya menarik keluar enam orang dalam keadaan tidak sedarkan diri, tiga gagal diselamatkan dan tiga lagi dikejarkan ke hospital.
“Difahamkan tujuh orang masuk ke dalam lubang itu dan usaha mencari seorang lagi mangsa masih dijalankan.” kata pegawai pengurusan bencana Aurangabad, Ajay Choudhary ketika dihubungi.
Menurut penduduk tempatan, musim kemarau sudah menjadi kelaziman kepada petani di kawasan itu menjalankan kerja menyalurkan air dari sungai Sungai Sukhna.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sektor pertanian di India mengalami kerugian disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti kemarau dan banjir. – Bernama, 20 Mac, 2019
Komen