KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menafikan dakwaan yang kerajaan persekutuan melebih-lebihkan Kedah berbanding negerinya.
Penafian itu dikeluarkan selepas pengumuman Putrajaya semalam mengenai projek berimpak tinggi mencecah RM3 bilion di Kedah, termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
Chow berkata, Pulau Pinang mempunyai banyak projek mencecah berbilion ringgit menunggu untuk pelaksanaan selaku negeri dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
“Berita tentang lapangan terbang Kulim dan projek lain menarik banyak perhatian berita. Ada yang membandingkan Kedah dan Pulau Pinang.
“Walaupun bertahun-tahun Pulau Pinang menanti pinjaman mudah sebanyak RM1 bilion, Kedah pula sudah dapat projek RM3 bilion. Seolah-olah Pulau Pinang dianaktirikan.
“Di bawah NCER, Pulau Pinang adalah hub logistik wilayah utara juga. Kita tak boleh beri gambaran yang Pulau Pinang tak dapat apa-apa.
“Ia hanyalah sebab menteri (Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali) tak buat pengumuman untuk Pulau Pinang,” katanya pada sidang media hari ini.
Chow berkata, dalam mesyuarat bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Isnin lepas, semua negeri ahli dari Perlis hinggalah ke Perak mempunyai senarai projek untuk dilaksanakan.
Pulau Pinang mempunyai beberapa projek yang sedang berjalan seperti NCER Seed Centre dan Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (Crest).
Projek baharu termasuklah lebuh raya berlingkar di Batu Kawan, program Industri 4.0 untuk perusahaan kecil dan sederhana, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan peluasan Terminal Feri Swettenham, peluasan Lebuh Raya Koridor Utara kepada Jambatan Kedua Pulau Pinang, projek pertanian di Balik Pulau, projek pelancongan dan lain-lain.
Semalam, Azmin mengumumkan projek berimpak tinggi di Kedah dalam semakan pertengahan penggal Rancangan Malaysia ke-11. Salah satunya adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
Chow berkata lapangan terbang di Kulim, menurut NCIA, adalah inisiatif swasta. Projek terminal dan kediaman akan dilakukan pihak swasta, manakala infrastruktur luar akan dikendalikan kerajaan.
“Pada mesyuarat itu, saya bertanya mengapa tak masukkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dalam senarai projek juga.
“Mereka memasukkan lapangan terbang Kulim, sebuah inisiatif swasta, dalam senarai (projek) Kedah. Tetapi PTMP adalah inisiatif kerajaan Pulau Pinang. Saya minta mereka masukkan dalam pelan induk itu.
“Jika kita masukkan PTMP, Pulau Pinang ada projek bernilai hampir RM50 bilion. Awak tak boleh kata tiada (projek) menunggu…kita ada lebih banyak daripada Kedah.” – 20 Mac, 2019.
Komen