PERDANA Menteri New Zealand Jacinda Ardern hari ini menggesa tindak balas dunia ke atas bahaya media sosial ketika masyarakat Islam negara itu mula mengebumikan mayat mangsa serangan pengganas selepas lima hari serangan di dua masjid berlaku.
Seorang pengganas pelampau kulit putih menyiarkan lintas langsung 17 minit serangan tersebut, dan kini berdepan pendakwaan kerana membunuh 50 orang Islam yang bersiap untuk bersolat Jumaat.
Facebook berkata lintas langsung dari Christchurch itu ditonton kurang 200 kali tetapi ia sudah memadamkan 1.5 juta video rakaman serangan yang tular.
Ardern berkata tumpuannya sekarang adalah rakyat New Zealand, tetapi ada isu yang pemimpin dunia perlu “hadapi secara kolektif”.
“Kita tak boleh, misalnya, hanya berdepan isu yang kita hadapi dengan media sosial berdasarkan kes demi kes sahaja,” katanya.
“Ada hujah di sini yang perlu kita sepakati sebagai isu dunia.
“Ia bukan hanya isu untuk New Zealand- hakikatnya platform media sosial digunakan untuk menyebar keganasan (dan) bahan mencetuskan keganasan. Kita perlu bersatu (menanganinya).”
Di AS, panel Kongres sudah meminta eksekutif kanan syarikat teknologi AS untuk menjelaskan penyebaran video kejam itu dalam taliannya.
Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negara menyifatkannya sebagai “sangat penting” untuk menyaring gambaran ganas sebegitu.
Syarikat media sosial sudah lama berhujah mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan tentang kandungan platform mereka tetapi Ardern mengecamnya, menyifatkan tindakan itu seperti “hanya keuntungan, tiada tanggungjawab”.
Seorang ahli perniagaan berusia 44 tahun ditahan reman selepas dihadapkan ke mahkamah di Christchurch hari ini atas pertuduhan menyebarkan rakaman salah sebuah serangan masjid itu.
Jika disabitkan bersalah, beliau boleh dipenjara sehingga 44 tahun.
Ardern juga mengumumkan New Zealand akan bertafakur selama dua mini untuk menghormati mangsa serangan pada Jumaat dan wanita negara itu digalakkan memakai tudurng untuk menyatakan sokongan mereka kepada masyarakat Islam. – AFP, 20 Mac, 2019.
Komen