LOKASI pembinaannya perlu mempunyai ekosistem yang betul untuk berkembang, bukan hanya satu kemudahan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengulas mengenai kelulusan yang diberikan Putrajaya untuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Beliau berkata, kerajaan perlu menjalankan kajian kebolehlaksanaan baharu terhadap lapangan terbang itu untuk melihat sama ada ia akan berdaya maju dan impak jangka panjangnya kepada Kedah dan Pulau Pinang, serta pelbagai industri dan perniagaannya.
Chow berkata, dengan atau tanpa lapangan terbang baharu di Kulim, Pulau Pinang sentiasa menjadi pemangkin pertumbuhan bagi wilayah utara, walaupun ketika ia diterajui pembangkang selama 10 tahun.
“Kita akan terus memainkan peranan ini. Pulau Pinang mempunyai iklim, infrastruktur, ekosistem, persekitaran hidup yang mampan, kesenian, warisan dan budaya menjadi destinasi yang sangat menarik untuk pelaburan dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan, termasuk pelancongan.
“Dalam apa jua keadaan, kami menerima berita ini dengan positif kerana tidak ada pengumuman bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) akan ditutup.
“Kami juga berharap semua rancangan untuk memperbesarkan PIA juga akan dipercepat, kerana ia telah beroperasi melebihi kemampuannya.
“Kami difahamkan bahawa pembesaran itu akan menjadi inisiatif pembiayaan swasta. Penderma swasta boleh diberikan hak konsesi untuk menguruskan projek yang telah siap,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali mengumumkan bahawa pembinaan lapangan terbang itu diluluskan sebagai langkah kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan.
Pembinaannya akan menelan belanja RM1.6 bilion. Ia juag merupakan salah satu daripada enam projek berimpak tinggi di Kedah yang disenarai dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11.
Tiada butiran mengenai KXP, kecuali Kedah telah menubuhkan sebuah entiti khas yang dinamakan KXP Airport City Holdings Sdn Bhd untuk merancang, menyelaras dan mengurus pembangunan lapangan terbang.
Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir pada bulan lalu berkata pihak yang berminat dalam projek KXP boleh menghubungi dan menghantar kertas cadangan mereka ke pejabat KXP Airport City di Wisma PKNK, Jalan Sultan Badlishah di Alor Setar.
Bulan lepas, Chow juga berkata beliau dan Mukhriz telah bertemu dan membincangkan mengenai lapangan terbang Kulim. Pulau Pinang juga meminta salinan kajian kebolehlaksanaan Kedah mengenai lapangan terbang yang dicadangkan itu.
“Apabila kami bertemu, Mukhriz memberitahu saya ia akan menjadi lapangan terbang kargo. Namun, kajian kelayakan itu menyatakan, ia adalah kargo dan lapangan terbang penumpang. Terserah kepada Kedah untuk menjelaskannya.”
Ditanya mengenai kandungan kajian itu, Chow berkata ia telah dibuat pada 2013 dan mengandungi temubual dengan kira-kira 900 orang penduduk Pulau Pinang.
“Ada antara mereka tidak kisah dengan apangan terbang di Kulim, namun ia hanya sampel kecil. Kami merasakan terdapat keperluan untuk kajian baharu. Kami harap kerajaan persekutuan yang akan menjalankan kajian itu dan bukan sektor swasta.
“Memandangan lapangan terbang adalah inisiatif swasta, kerajaan tidak boleh hanya mengambil apa yang mereka katakan tentang kelayakan projek itu.
Pengkritik Pakatan Harapan kini mempersoalkan kelulusan untuk lapangan terbang Kulim, yang hanya kira-kira satu jam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.
Presiden MCA Dr Wee Ka Siong menyifatkan keputusan itu sebagai “pertimbangan politik klasik mengenai prinsip ekonomi”.
Beliau turut mempersoalkan dari mana Putrajaya mendapat wang untuk projek yang “tidak wajar”.
“Kami dimaklumkan bahawa kerajaan tidak mempunyai wang tetapi ia bersedia membelanjakan RM1.6 bilion untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim.
“Ia dijangka menjadi projek gajah putih kerana kebanyakan penerbangan antarabangsa akan terbang ke Pulau Pinang dan bukan Kulim. Jumlah lalu lintas tidak membenarkan penubuhan lapangan terbang ini,” katanya dalam laporan The Star semalam.
Terdahulu, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong juga mempersoalkan kelulusan “tiba-tiba” untuk lapangan terbang Kulim ketika hanya minggu lalu Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tidak ada kelulusan lagi.
Dalam jawapan di Parlimen kepada Chow, Loke berkata cadangan lapangan terbang Kulim akan dibentangkan di Majlis Perancangan Fizikal Negara (NPPC).
Adalah diketahui bahawa majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan bermesyuarat bulan depan.
“Tetapi minggu ini, tiba-tiba ia diluluskan. Apa yang berlaku?” kata Oh dalam satu kenyataan.
Presiden Gerakan Pulau Pinang juga berkata Kedah, yang mempunyai penduduk hanya dua juta, sudah mempunyai dua lapangan terbang di Alor Setar dan Langkawi.
Beliau memberi peringatan bahawa sebaik sahaja lapangan terbang Kulim naik dan berjalan, status Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang akan terjejas.
Memandangkan lapangan terbang Kulim sebagai lapangan terbang antarabangsa wilayah utara akan menyebabkan lapangan terbang di Pulau Pinang dipinggirkan sama ada “cepat atau lambat”, katanya.
“Sama ada lapangan terbang Kulim adalah kargo atau lapangan terbang penumpang, ia akan melemahkan daya saing Pulau Pinang.” – 20 Mac, 2019
Komen