Kanak-kanak 12 tahun dirogol sebelum dipenggal abang dan bapa saudara di India 


Peningkatan kadar kes serangan seksual melibatkan kanak-kanak di India mencetuskan bantahan besar-besaran di negara itu.– Gambar EPA, 20 Mac, 2019

DUA adik beradik ditahan di India kerana didakwa merogol adik perempuan mereka berusia 12 tahun sebelum memenggal kepalanya menggunakan sabit, kata polis.

India mempunyai rekod buruk bagi kes serangan seksual terhadap kanak-kanak dengan 36,000 kes dilaporkan pada 2016, menurut data kerajaan negara itu.

Jawatankuasa Hak Asasi Kanak-Kanak PBB pada 2014 berkata, satu daripada tiga kes rogol di negara itu melibatkan golongan bawah umur. Hampir separuh daripada pelaku merupakan kenalan mangsa.

Dalam kes ini, bapa saudara kepada kanak-kanak berkenaan berusia 40 tahun turut ditahan dan polis kini memburu abang sulung mangsa selepas mayatnya ditemui di negeri Madya Pradesh minggu lalu.

Tertuduh pada mulanya cuba untuk menyalahkan keluarga saingan sebelum polis di daerah Sagar mendapati terdapat percanggahan dalam kenyataan mereka dan menyedari abang sulung mangsa hilang.

“Itu adalah petunjuk yang besar,” kata penguasa polis daerah Amit Sanghi kepada AFP melalui telefon.

“Semua lelaki (tiga abang dan bapa saudara) terlibat merogol gadis itu dan ketika dia mengancam untuk memberitahu polis, mereka mencekiknya hingga mati dan memotong kepalanya dan membuang mayatnya.”

Sanghi berkata bedah siasat telah mengesahkan mangsa diperkosa bergilir-gilir dan turut diperlakukan dengan seks luar tabii.

“Saya tidak pernah melihat jenayah seperti ini seumur hidup saya, malah peguam juga menyatakan mereka enggan mewakili tertuduh dalam kes ini.”

Kadar kes serangan seksual yang tinggi terus berlarutan meskipun terdapat perubahan undang-undang selepas kes rogol dan bunuh berprofil tinggi melibtakan seorang pelajar di Delhi pada 2012 yang mencetuskan bantahan besar-besaran. – AFP, 20 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen