PUTRAJAYA sedang mengkaji kemungkinan untuk menjual Malaysia Airlines Bhd, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata ada pihak yang sesuai berminat untuk membeli syarikat penerbangan negara itu.
“
“Walaupun kita mengambil orang asing untuk menguruskan MAS, ia masih kerugian. Salah satu cara (mengubahnya) ialah dengan menjualnya,” kata Dr Mahathir kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Katanya, beberapa tawaran diterima daripada pihak dalam dan luar negara.
Dr Mahathir berkata kerajaan juga menilai kemungkinan tidak menjual syarikat penerbangan itu.
“Kita ada banyak pesawat yang tidak digunakan sepenuhnya dan ia menyebabkan kerugian.
“Secara peribadi saya sayangkan MAS dan saya mahu mengekalkan ia sebagai syarikat penerbangan negara. Tetapi nampak sukar untuk berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata kerajaan sebelum ini memberikan RM6 bilion untuk menyelamatkan MAS tetapi pengurusan baharu memberhentikan lebih 6,000 kakitangan.
“Selepas itu, MAS tidak menawarkan banyak penerbangan. Ini bermakna pengurangan pekerja tidak mengubah apa-apa. Mengurangkan pekerja dan kemudian kurangnya penerbangan bermakna tidak ada penambahbaikan,” kata Dr Mahathir.
Kerugian MAS yang terakhir diketahui ialah RM812 juta pada 2017. Khazanah dilaporkan mengalami kos kemerosotan RM7.3 bilion tahun lalu, di mana separuh daripadanya berpunca daripada syarikat penerbangan itu.
Sebelum pelan penswastaan oleh Khazanah pada 2014, kerajaan menyuntik kira-kira RM17.4 bilion dalam syarikat itu. Sejak itu, Khazanah juga berjanji untuk memberi RM6 bilion lagi. – 20 Mac, 2019.
Komen