Kos ECRL cecah RM130 bilion, kata PM


Chan Kok Leong

Pinjaman RM60 bilion untuk bina ECRL boleh jadi RM130 bilion dengan faedah dan ambil masa 30 tahun untuk selesai, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2019.

PROJEK Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dijangka mencecah RM130 bilion selepas mengambil kira kos faedah, kata Dr Mahathir Mohamad pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

“Jika kita terus meminjam sebanyak RM60 bilion. Untuk bayar balik, ia akan ambil kita masa 30 tahun dan jumlah itu ditambah dengan faedah hampir RM130 bilion.

“Kerana itulah kita tak mampu (teruskan) dengan projek ini,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.

Perdana menteri juga berkata beliau tidak boleh mendedahkan terma rundingan kerana “kita masih berunding”.

Tambahnya, keputusan mengenai projek ECRL berkemungkinan besar diputuskan sebelum beliau melawat China bulan depan.

Katanya, kerajaan mahu menyelesaikan rundingan lebih awal, tetapi “perkara sebegini ambil masa”.

“Kita tak boleh ramal masa (yang diambil) kerana bukan kita tak boleh buat keputusan sendiri. Ia juga (bergantung) kepada pihak lain (China) untuk memberi respond,” katanya bila ditanya tentang tempoh masa rundingan akan dimuktamadkan.

Selepas melakukan semakan projek tersebut, kerajaan merasakan ada “beberapa bahagian tidak perlu”, tambahnya.

“Kita mungkin tak perlukan landasan berkembar misalnya kerana projek itu awalnya untuk kargo dan penumpang yang kecil. Kita boleh tunda pembinaan bahagian itu sehingga diperlukan.”

Sebelum itu di Dewan Rakyat, Dr Mahathir turut menjelaskan yang Daim Zainuddin adalah calon terbaik perunding bagi pihak kerajaan Malaysia.

Perdana menteri menjawab soalan Ismail Mohamed Said (BN- Kuala Krau) tentang mengapa Daim dipilih untuk berunding dengan China dan bukannya Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Kita pilih berdasarkan kemampuan tertentu. Kadang-kala bila kita berunding, kita perlukan sesorang yang boleh diterima oleh pihak lain, dan kita semua ada halangan tertentu dalam pemilih perunding,” katanya. – 20 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen