Jenazah 2 beranak pelarian Syria mangsa insiden Christchurch dikebumikan


Zahid Khaled, 13, hadir majlis pengebumian bapa dan abangnya dengan berkerusi roda. Khaled Mustafa dan anaknya, Hamza, 15, maut dalam insiden tembakan di dua masjid di Christchurch pada Jumaat lalu. – Gambar AFP, 20 Mac, 2019.

JENAZAH dua beranak pelarian Syria yang menjadi mangsa insiden keganasan di masjid Christchurch menjadi dua mangsa pertama dikebumikan hari ini.

Mereka antara enam jenazah mangsa keganasan yang dilepaskan polis semalam. 15 lagi jenazah akan dijangka dilepaskan hari ini, menjadikan 21 jenazah dijangka dikebumikan hari ini. 

Ratusan penduduk terutama beragama Islam berkumpul di tanah perkuburan tidak jauh dari Masjid Linwood, sasaran kedua keganasan Jumaat lalu.

Mereka menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah Khaled Mustafa dan anaknya, Hamza, 15, di situ.

Keluarga berkenaan tiba di New Zealand tahun lalu sebagai pelarian untuk mencari perlindungan daripada krisis di negara asal mereka.

Sebaliknya, Khaled dan Hamza ditembak mati di Masjid Al Noor, lokasi sasaran pertama keganasan itu.

Adik lelaki Hamza, Zahid, 13, cedera tetapi selamat dan turut menghadiri majlis pengebumian bapa dan abangnya dengan berkerusi roda.

Susulan tragedi kegansan terburuk dalam sejarah New Zealand moden itu, kerajaan sudah mengarahkan tafakur dan seruan azan disiarkan dalam semua saluran televisyen dan radio Jumaat ini. 

Setakat ini, 50 mangsa sah terbunuh, 29 mangsa masih dirawat di hospital dengan 9 mereka parah dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di hospital seluruh Christchurch. 

Pengganas kulit putih warga Australia melepaskan tembakan di dua masjid di Christchurch Jumaat lalu yang disiarkan secara langsung oleh penjenayah itu. – AFP, 20 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen