Era editorial ala Long Tiger & Jebat Derhaka


Zainal Rashid Ahmad

DI YouTube, ada trend baharu yang sangat meledak sekarang. Dua nama manusia biasa yang mulai menerima perhatian luar biasa.

Paling meledak ialah Jebat Derhaka; seorang personaliti YouTube atau “YouTuber” yang agresif dan prolifik memuat naik pelbagai video komen politik dan isu semasa.

Kita tidak perlu menyiasat siapa Jebat Derhaka. Sebab artikel ini bertujuan memperkatakan trend yang dicipta lelaki berusia lima puluhan ini. Serta pengaruh luar biasa yang diraih melalui tularan video-video komen politik dan isu semasa yang dimuat naik di saluran YouTube peribadinya.

Selain itu, YouTube sendiri turut menikmati hambatan pengikut akaun saluran Long Tiger. Anak muda kelahiran Muar, Johor. Selain kepetahan bercakap, stail Long Tiger yang berani dan bermulut lantang berjaya mencipta tarikan bagi peminat vlogger Youtube.

Ia menepati era ketika masyarakat mahukan isu-isu yang hangat diperkatakan secara terus-terang, tegas dan sensasi. Youtuber Jebat Derhaka pula sentiasa memuat naik video kritik politik dan komen isu semasa yang berani dan keras. Malah, kenyataannya selalu saja “setepek”.

Umpama pelempang jantan kepada menteri kabinet, ketua polis, agensi penguatkuasa, pemimpin parti dan tokoh-tokoh masyarakat.

Pandangan merakyat dan suara terus-terang begini menjadikan nama Jebat Derhaka popular dan diminati. Simbol yang berbaloi sesuai dengan imej Jebat Derhaka dalam konotasi Melayu itu sendiri.

Jebat Derhaka lebih kerap menyelar menteri kabinet dan dasar-dasar yang dilihat tidak relevan dan tidak pro rakyat. Isu-isu harian dengan bahasa komunikasi dan penjelasan yang mudah dan relevan menjadikan video-videonya popular.

Isu pengharaman merokok, isu hak-hak kebajikan rakyat, kecelaruan sistem pendidikan dan kos sara hidup adalah editorial utamanya. Malah, perwatakan kepimpinan menteri yang lemah atau angkuh, juga ditegurnya dengan berani.

Menonton video-video Jebat Derhaka membuatkan rakyat awam dan marhean merasakan suara mereka mengalir bersama kerasnya kritikan Jebat Derhaka terhadap kerajaan dan pihak berkuasa.

Jebat Derhaka kini satu fenomena. Ketika defisit keyakinan rakyat terhadap akhbar dan portal berita mulai menyusut kerana kegagalan media massa memainkan isu-isu protes rakyat secara maksima.

Ia juga satu trend baharu yang membuatkan aliran perhatian maklumat kini beralih kepada YouTuber yang berani mengupas, mengkritik dan menyuarakan suara rakyat secara lantang seperti peranan Jebat Derhaka.

Long Tiger pula mewakili suara ultra Melayu dan Islam generasi hari ini. Ketika banyak isu semasa yang gagal ditangani secara bijak oleh kerajaan dan pihak berkuasa, pengikut Long Tiger merasakan kritikan-kritikan anak muda Muar ini sebagai relevan dan mewakili aspirasi mereka.

Watak Long Tiger yang muda tapi dinamik, serta sikapnya yang tegas tapi terbuka membuatkan masyarakat mahu mendengar pandangannya.

Walaupun dia pernah memperkenalkan dirinya hanya berlatar belakang buruh rencam atau pemandu lori, tapi reputasi utamanya bukan pada status. Kehadiran videonya dilihat sebagai aspirasi pada suara editorial Melayu Islam non partisan.

Long Tiger dilihat ultra Melayu dan Islam pada kaca mata sesetengah pihak. Namun, ketika orang Melayu Islam berasa sedikit tercabar sejak kes krisis di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, dan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad di Facebook, suara Long Tiger dihargai.

Apatah lagi, dia dilihat sangat faham pada persekitaran gerakan gangster berasaskan kaum. Long Tiger kenal semua kumpulan samseng antara kaum.

Justeru, ucapan dan komen atau kritikannya dilihat mendalam dan memberikan sudut maklumat lebih meluas kepada masyarakat mengenai “sisi gelap di sebalik isu perkauman dan agama”.

Trend editorial YouTuber jenis ini tentunya sesuatu yang tidak mungkin diakses dalam laporan wartawan biasa yang masih terkial-kial dengan fakta 5W dan 1H.

Wartawan konservatif masih percaya, peranan berita ialah fakta. Manakala, aliran editorial ala Long Tiger dan Jebat Derhaka menghantar isyarat perkongsian informasi cara baharu, iaitu sentimen semasa.

Semuanya tentang: Realiti perasaan dan hakikat dalam fikiran Melayu Islam terhadap isu-isu yang berkaitan dengan soal maruah dan harga diri mereka.

Pada era, masyarakat menganggap akhbar, berita TV dan portal berita sebagai medium doktrinisasi yang mewakili pelbagai kepentingan politik, YouTuber ini mula mendapat tempat.

Melalui platform media baharu, wujud kecenderungan bagi masyarakat untuk merujuk sumber yang dilihat tidak dipatron oleh doktrin politik.

Suara YouTuber seperti Long Tiger dan Jebat Derhaka adalah titik awal wujudnya kewartawanan baharu miliki netizen pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Satu petanda dan fenomena, rakyat kini mahu mendengar pandangan langsung dari rakyat kepada rakyat. Era ini membuktikan, rakyat menganggap perkongsian maklumat gaya konvensional bukan lagi keutamaan.

Rakyat mahukan suara editorial yang mewakili sentimen dan fikiran mereka. Malah, Long Tiger dan Jebat Derhaka kini watak-watak editorial era baharu yang bertindak sebagai pelobi informasi.

Mereka mencipta rumusan editorial tanpa sebarang pengaruh patron politik. – 20 Mac, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen