Bina kerjaya sukan tanpa lupakan pendidikan


Ragananthini Vethasalam

ATLET Malaysia, termasuklah bekas wira sukan negara, bukan sahaja boleh membina kerjaya tetapi juga mendapatkan pendidikan menerusi inisiatif pusat sehenti kerajaan yang akan dilancarkan hujung bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu The Malaysian Insight yang pusat sehenti itu bermatlamat menjaga kebajikan atlet dan akan bekerjasama dengan 20 universiti untuk menyediakan pendidikan dan mengembangkan bakat sukan mereka.

Antara lain, institusi ini akan menawarkan biasiswa dan jam kredit pengajian yang fleksibel.

“Saya beri penekanan yang banyak untuknya kerana saya mahu atlet muda diberikan biasiswa, jam pengajian yang fleksibel supaya selain menjadi atlet, mereka juga boleh mendapatkan ijazah atau diploma,” katanya.

Pada tahap permulaan, hanya enam universiti terlibat, dan dalam tempoh kurang setahun, kementerian berjaya mendapatkan kerjasama 14 lagi universiti.

“Misalnya UniKL (Universiti Kuala Lumpur). UniKL mahu beri tumpuan kepada hoki. Mereka ada gelanggang hoki yang bagus, dan juga sudah mengupah beberapa orang jurulatih.

“Jadi mereka mahu pemain hoki terbaik Malaysia belajar di UniKL dan bermain untuk UniKL kerana UniKL adalah no 1.”

UniKL sudah menandatangani perjanjian dengan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya pemain hoki lepasan sekolah boleh melanjutkan pengajian di universiti itu.

Atlet ini bukan sahaja akan ditawarkan biasiswa atau skim yuran yang bersesuaian, tetapi kos sara hidup turut ditampung selain jam pengajian yang lebih fleksibel supaya mereka boleh memberikan tumpuan kepada sukan tanpa mengabaikan pengajian.

Bagaimanapun, kerjasama dengan setiap universiti adalah unik dan berbeza, kerana setiap universiti meletakkan keutamaan kepada sukan berlainan.

Syed Saddiq berkata program sebegitu sangat membantu kerana ia menyediakan biasiswa, pembiayaan pengajian, tempat latihan yang bagus dan jam pengajian fleksibel.

Bagi bekas atlet pula, mereka boleh mendapatkan peluang melatih atlet sekarang dan melanjutkan pengajian jika mereka mahu.

“Dengan semakin banyak universiti bekerjasama dengan kami (KBS), mereka perlukan profesional untuk melatih pasukan.”

Tambahnya, bekas atlet akan ditawarkan peluang untuk menjadi jurulatih bersesuaian sukan mereka dengan universiti terlibat.

Kebajikan bekas atlet

Kerajaan juga sudah meluluskan Skim Kesihatan Khas untuk bekas atlet yang berdaftar dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), kata Syed Saddiq.

Dengan kelulusan skim ini, kos penjagaan kesihatan bekas atlet sekarang akan ditanggung sepenuhnya kerajaan, walaupun ia boleh mencecah antara RM3 juta sehingga RM10 juta.

Menurutnya, kos penjagaan kesihatan bekas atlet sebelum ini tidak ditanggung kerajaan

Yakeb juga sudah mendapatkan pembiayaan tambahan sebanyak RM3 juta daripada kerajaan. – 21 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen