Pengebumian pertama mangsa tembak Christchurch hari ini


Jenazah pertama mangsa insiden tembakan di dua masjid di Christchurch dikebumikan hari ini di tapak perkuburan berhampiran Masjid Linwood. – Gambar AFP, 20 Mac, 2019.

PENGEBUMIAN pertama bagi mangsa insiden pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di New Zealand dijadualkan berlangsung hari ini, dan pada masa sama pihak berkuasa berjanji memulangkan lebih banyak jenazah mangsa kepada keluarga, susulan kritikan terhadap kelewatan itu.

Seorang lelaki warga Australia berkulit putih bertindak menembak mati 50 umat Islam yang sedang menunaikan solat di dua masjid berkenaan di Christchurch, Jumaat lalu dan dengan kejamnya pembunuh itu merakamnya secara langsung.

Ahli keluarga mangsa bersedih dengan pihak berkuasa yang lewat mengembalikan jenazah untuk dikebumikan dengan secepat mungkin mengikut syariat Islam.

Hanya enam jenazah daripada 50 mangsa dikembalikan kepada keluarga, setakat ini.

Majlis Bandar Christchurch mengesahkan pengebumian pertama akan diadakan pagi ini di tapak perkuburan berhampiran Masjid Linwood, salah satu daripada dua rumah ibadat yang menjadi sasaran.

“Selepas solat jenazah, ahli keluarga dan rakan taulan akan mengusung jenazah ke tapak perkuburan untuk pengebumian,” kata jurucakap Jocelyn Ritchie.

Pihak berkuasa berkata mereka melakukan sebaik mungkin untuk mempercepatkan bedah siasat dan identifikasi secara rasmi semua mangsa yang terbunuh.

Pesuruhjaya polis Mike Bush berkata proses itu menjadi lambat kerana perlunya mengenal pasti mangsa secara konklusif bagi mengelak pendakwaan.

Setakat ini 21 mangsa dikenal pasti secara rasmi oleh koroner dan beliau berharap proses kenal pasti akan selesai malam ini. – AFP, 20 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen