Umat Islam, bukan Islam Pulau Pinang berhimpun doakan mangsa serangan New Zealand


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Pulau Pinang memberikan ucapan ringkas selepas menghadiri majlis tahlil dan doa untuk mangsa serangan New Zealand yang diadakan di Masjid Kapitan Keling, George Town. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 19 Mac, 2019

JEMAAH di Masjid Kapitan Keling di George Town mengadakan majlis tahlil dan doa untuk mangsa serangan pengganas di Christchurch. 

Masyarakat bukan Islam turut menyertai mereka di masjid berkenaan di Jalan Kapitan Keling, yang turut dikenali sebagai “Jalan Harmoni” berikutan terdapat rumah ibadat pelbagai agama di situ. 

Antara yang turut hadir adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, yang duduk bersama lebih 100 jemaah pada majlis itu. 

Beliau menyifatkan perhimpunan pada majlis itu sebagai salah satu keamanan. 

“Kita tidak boleh memerangi keganasan dengan lebih banyak keganasan. Satu-satunya cara adalah keamanan. Dengan menunjukkan keamanan, kita telah menang. 

“Keamanan yang kita tunjukkan pada malam ini mengatasi keganasan. 

“Kita berdoa agar Pulau Pinang dan Malaysia sentiasa diberkati dengan keamanan dan kebahagiaan,” katanya dalam ucapan ringkas selepas majlis itu. 

Serangan pengganas di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood Jumaat lalu menyebabkan 50 orang terbunuh dan mencederakan puluhan yang lain. Tiga rakyat Malaysia antara yang dilaporkan cedera.

Masyarakat Islam dan bukan Islam sama-sama berhimpun dan mendoakan mangsa serangan pengganas Christchurch pada majlis yang diadakan di Masjid Kapitan Keling. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 19 Mac, 2019 

Salah seorang daripada mereka adalah Rahimi Ahmad, yang berasal dari Bayan Lepas da bekerja sebagai juruteknik kilang tenusu. 

Sebaik sahaja mengetahui warga Pulau Pinang cedera dalam serangan itu, kerajaan negeri menerbangkan ibu Rahimi dan abangnya ke Christchurch, ditemani exco kerajaan negeri Phee Boon Poh dan Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz. 

Chow berkata bantuan telah dihantar kepada mangsa dan semua masyarakat mendoakan agar mereka cepat sembuh. 

Beliau turut memuji jawatankuasa Masjid Kapitan Keling kerana menganjurkan majlis itu dan berkata, ia menunjukkan masyarakat di Pulau Pinang mengambil berat tentang tragedi yang berlaku di New Zealand itu. 

Pengerusi jawatankuasa masjid Meera Mydin Mastan berkata, majlis tahlil dan doa itu diadakan untuk mendoakan mangsa serangan pengganas Christchurch. 

“Ia berlaku ketika mereka beribadat di rumah Allah. Tiada masyarakat atau agama yang akan membiarkan serangan itu. 

“Itu sebabnya kita mahu lakukan sesuatu bagi menunjukkan kita menyelar perbuatan kejam pengganas itu.”

Meera turut berterima kasih kepada kerajaan New Zealand kerana membantu mangsa dan keluarga mereka serta memuji “kepimpinan teladan” Perdana Mneteri Jacinda Arden. – 19 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen