LAPORAN akhir berkenaan urus niaga tukar tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyebabkan kerajaan rugi RM500 juta, mendedahkan banyak kem tentera kosong selepas pilihan raya umum.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tanah yang dibeli melalui penipuan itu, digunakan khusus untuk menambah undi Barisan Nasional (BN).
“Kita sudah terima laporan akhir (dari menteri pertahanan) siasatan tukar tanah itu,” beliau memberitahu pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah di Putrajaya hari ini.
Menurut perdana menteri, laporan mendapati kerajaan BN mengenal pasti dan menjual tanah melalui cara yang tidak sah “semata-mata untuk membina kem tentera”.
“Kem-kem tentera ini dibina semata-mata untuk pilihan raya supaya semasa pilihan raya, tentera boleh undi (kerajaan) di tempat-tempat tertentu.
“Ini tak betul dan melanggar undang-undang. Kita dapati banyak kes tukar tanah ini, bila habis pilihan raya, kem-kem itu kosong,” kata Dr Mahathir.
Timbalan Menteri Pertahanan Liew Ching Tong dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight sebelum ini berkata pegawai kepada bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein didakwa terlibat dalam urus niaga tukar tanah milik angkatan tentera yang menyebabkan kerugian sehingga RM500 juta pada kementerian.
Liew berkata penglibatan pegawai tersebut dibongkar semasa penyiasatan Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan dipengerusikan bekas ketua audit negara, Ambrin Buang.
Katanya, dapatan jawatankuasa khas itu melaporkan kerugian Kementerian Pertahanan adalah akibat 16 projek tukar tanah sejak 1997.
Projek itu merangkumi pembinaan empat kem tentera yang dikatakan atas tujuan politik, termasuk sebuah di Paloh dalam kawasan Parlimen Sembrong yang Hishammuddin adalah wakilnya di Dewan Rakyat.
Jawatankuasa khas itu dibentuk pada Jun 2018, sebulan selepas menang pilihan raya umum, bagi meneliti dan menyiasat isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara yang dilakukan oleh kerajaan sebelumnya. – 19 Mac, 2019.
Komen