PUTRAJAYA bercadang untuk menubuhkan mahkamah khas rasuah untuk menyelesaikan kes-kes yang masih tertangguh, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata undang-undang akan digubal untuk mewujudkan mahkamah ini di semua peringkat kehakiman dan ia sebagai maklum balas terhadap gesaan masyarakat berhubung tindakan yang lambat dalam mendakwa tertuduh kes rasuah.
“Ia tidak akan menjejaskan mahkamah biasa kerana ia juga datang dari mahkamah biasa. Kami masih mengkaji kertas cadangan kerana biasanya terdapat tiga lapisan ke mahkamah.
“Kami mendapati bahawa perbicaraan rasuah dianggap sebagai perbicaraan biasa tanpa sebarang keutamaan yang diberikan kepada mereka,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di Putrajaya selepas mempengerusikan jawatankuasa kabinet mengenai usaha membanteras rasuah.
“Sudah tentu kami tidak campur tangan dalam proses mahkamah tetapi perkara ini sangat serius dan orang bertanya mana hukuman terhadap jenayah yang dilakukan oleh individu-individu tertentu.
“Kita mahukan sebuah mahkamah yang boleh memulakan pendengaran kes dengan secepat mungkin,” katanya dan menambah hakim akan “dilantik mengikut cara biasa”.
Kuasa pendakwaan akan kekal dengan Jabatan Peguam Negara, katanya berhubung sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan diberi kuasa pendakwaan tambahan.
Mengenai sama ada undang-undang itu akan digubal tahun ini, Dr Mahathir menjawab: “Kami cuba melakukannya secepat mungkin.”
“Kami faham bahawa mahkamah biasa sangat sibuk, kami memerlukan mahkamah khas kerana rakyat bertanya mengapa orang yang diketahui melakukan jenayah dilihat bebas, ini adalah sesuatu yang rakyat tidak suka,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana kes tertentu. – 19 Mac, 2019
Berita penuh di sini.
Komen