Siasatan global ke atas 1MDB bukti ia bukan muslihat AS


Sheridan Mahavera

TINDAKAN keras dan siasatan di seluruh dunia terhadap bank serta pengurusnya yang terlibat dengan pengubahan wang haram daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan ia bukan sekadar plot terancang untuk memalukan Malaysia seperti dakwaan menteri kanan Nazri Aziz, kata pembangkang dan aktivis masyarakat.

“Selepas semua tindakan yang diambil terhadap beberapa bank dan pengurusnya di seluruh dunia, saya terkejut seorang menteri boleh mengatakan ini,” kata Cynthia Gabriel, (pengasas) Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme.

“Terdapat siasatan di seluruh dunia berhubung 1MDB, banyak bank ditutup dan peguam negara Swiss berkata ia semakin hampir dengan pelaku yang terlibat. Saya terkejut beliau masih menafikannya,” kata Gabriel.

Gabriel berkata demikian bagi mengulas kenyataan Nazri yang berkata siasatan itu dirancang oleh Amerika Syarikat (AS).

Nazri, bekas menteri undang-undang, berkata saman sivil oleh Jabatan Keadilan (DoJ) AS adalah satu usaha kerajaan itu untuk melemahkan dan menjejaskan kestabilan Malaysia.

Saman sivil itu adalah untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion di AS, termasuk rumah dan lukisan mewah, yang didakwa dibeli dengan wang dicuri daripada 1MDB.

Tindakan yang diambil terhadap bank dan pengurusnya di enam negara merupakan sebahagian daripada jejak wang 1MDB yang membuktikan penipuan dan penyelewengan dilakukan, kata Gabriel.

Beliau berkata ia tidak masuk akal bagi AS menjejaskan kestabilan Malaysia kerana kedua-dua negara mempunyai perdagangan dan hubungan diplomatik yang rapat.

Sejak Oktober tahun lalu, Singapura menutup cawangan dua bank swasta Swiss, Falcon dan BSI, kerana pengubahan wang haram yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Republik itu juga mendenda dua bank lain, UBS dan DBS, kerana melanggar undang-undang pencegahan pengubahan wang haram. Switzerland turut mendenda Coutts Bank kerana pengubahan wang haram.

Lima bekas pengurus bank di Singapura juga didenda dan dipenjarakan kerana peranan mereka dalam pergerakan dana haram 1MDB daripada akaun berkait dengan ahli kewangan kontroversi Low Taek Jho.

Low adalah seorang daripada empat individu yang dinamakan dalam saman DoJ.

Selain saman sivil DoJ, apa yang amat menarik ialah gambar bocor yang menunjukkan bagaimana Low dan rakan kongsinya Riza Aziz membelanjakan pada jet peribadi, rumah agam dan “penthouse”, kata ahli Parlimen pembangkang Rafizi Ramli bocor.

“Ini lebih kuat berbanding perkataan mana-mana ahli politik yang boleh katakan untuk menyokong atau menolak kaitan (Perdana Menteri) Najib dengan kes itu,” kata Rafizi, yang memainkan peranan penting dalam mendedahkan skandal 1MDB.

“Sebab itu saya mendapati cubaan Nazri menggunakan skrip lapuk yang cuba membuatkan saman DoJ terhadap 1MDB sebagai ‘campur tangan asing’, bahan ketawa.

“Ini adalah skrip terhadap Anwar (Ibrahim) yang Umno gunakan selama beberapa dekad. Jika ia tidak berfungsi pada Anwar, ia akan menjadi lebih sukar untuk menjadikannya berkesan terhadap 1MDB.” – 7 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen