DISKRIMINASI dalam bidang pekerjaan di Malaysia dalam dielakkan jika terdapat undang-undang yang melarang pengambilan pekerja berdasarkan jantina, kerakyatan, bangsa dan ketidakupayaan, menurut laporan Kedutaan Amerika Syarikat 2018 mengenai amalan hak asasi manusia.
Jika ada undang-undang sekalipun, penguatkuasaan yang lemah menyebabkan berlaku banyak kes majikan melanggar undang-undang berkenaan gaji dan masa bekerja.
Laporan itu menyebut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melaporkan masa bekerja 12, 14 dan 18 jam sehari adalah perkara biasa dalam industri makanan dan perkhidmatan lain. MTUC juga melaporkan pekerja asing sering dipaksa bekerja dalam keadaan sukar.
“Mereka bekerja dalam sektor yang sering mengabai hak pekerja, melakukan kerja berbahaya, gaji mereka ditahan majikan, dan tiada bantuan perundangan dalam kes-kes melibatkan pelanggaran kontrak.
“Terdapat pekerja mendakwa majikan menyediakan tempat tinggal yang tiada peri kemanusiaan, merampas dokumen perjalanan mereka dan mendera mereka secara fizikal,” menurut laporan itu.
Laporan juga menyebut majikan dilaporkan mengehadkan pergerakan pekerja serta penggunaan telefon bimbit, memberi makanan yang tidak berzat, tiada masa rehat yang cukup, mendera pekerja secara seksual dan fizikal serta mengganggu dan mengancam akan mengusir pekerja.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, seramai 117 pekerja meninggal dunia, 1,612 mengalami kecacata tidak kekal manakala 80 orang mengalami hilang upaya kekal pada enam bulan pertama tahun lepas. – 19 Mac, 2019.
Komen