MAHKAMAH Myanmar hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas seorang pemimpin etnik Rakhine terkemuka atas tuduhan mengkhianat.
Keputusan mahkamah itu dibimbangi akan menambah kemarahan ketika berlaku pertempuran antara kumpulan etnik dan tentera di negara itu.
Aye Maung adalah bekas pengerusi Parti Nasional Arakan yang terkenal dengan pandangan keras terhadap minoriti Islam Rohingya. Dia disabitkan atas kesalahan mengkhianat dan memfitnah berikutan ucapan menghasut pada Januari 2018, sehari sebelum rusuhan yang membawa maut.
Beratus penyokong di luar mahkamah di wilayah Sittwe terpaksa ditenangkan ketika Aye Maung yang dikawal polis dibawa ke van polis selepas hukuman dijatuhkan.
Menurut laporan media kerajaan, Aye Maung ketika menyampaikan ucapannya semasa bantahan pada 2018 berkata kerajaan pusat melayan etnik Rakhine seperti “hamba” dan sudah tiba masanya komuniti itu melancarkan tentangan bersenjata.
Pada petang esoknya, penunjuk perasaan Rakhine merampas bangunan kerajaan, menyebabkan polis melepaskan tembakan sehingga tujuh orang terbunuh.
Seorang penulis, Wai Hin Aung yang juga memberi ucapan bersama Aye Maung ketika bantahan itu turut ditahan beberapa hari kemudian.
“Kedua-dua Aye Maung dan penulis Wai Hin Aung masing-masing dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana dakwaan pengkhianatan dan dua tahun kerana memfitnah kerajaan,” kata peguam bela Wai Hin Aung, Aye Nu Sein.
Peguam itu berkata mereka sedang menimbang untuk merayu. Kesalahan mengkhianat boleh membawa kepada hukuman mati. – AFP, 19 Mac, 2019.
Komen