Angka korban banjir kilat di Papua kini 89 orang


Sebanyak 13 lagi mayat ditemui dalam operasi dan menyelamat semalam, menjadikan angka korban kepada 89 orang, manakala 74 orang lagi dilaporkan masih hilang. – Gambar EPA, 19 Mac, 2019.

JUMLAH mangsa yang terkorban akibat kejadian banjir kilat di Sentani, Jayapura, Papua, Indonesia pada Sabtu malam, kini mencecah 89 orang.

Sebanyak 13 lagi mayat ditemui dalam operasi dan menyelamat semalam, menjadikan angka korban kepada 89 orang, manakala 74 orang lagi dilaporkan masih hilang.

Berdasarkan data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia setakat hari ini, sebanyak 350 unit rumah musnah, manakala kemudahan infrastuktur seperti jambatan, serta dua gereja, sebuah masjid, lapan sekolah turut rosak teruk.

“Banjir kilat itu membabitkan sembilan kelurahan (kawasan desa dan penempatan), setakat ini lebih 6,000 penduduk di tempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara,” kata Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho di sini.

Banjir kilat itu berlaku akibat hujan lebat di kawasan Gunung Cycloop menyebabkan berlaku aliran deras air ke kawasan penempatan penduduk terbabit.

Banjir kilat umpama ‘tsunami’ itu turut menghanyutkan batu-batu besar, kayu , pokok-pokok yang tumbang ke kawasan penempatan penduduk. – Bernama, 19 Mac, 2019.
 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen