PUTRAJAYA tidak bergantung kepada dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion untuk mengurangkan defisit fiskalnya, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Bercakap di Invest Malaysia awal hari ini, Lim berkata dividen khas itu hanya akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan bayaran semula cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion.
Jumlah bayaran balik GST yang belum dijelaskan berjumlah RM19.4 bilion dan bayaran semula cukai pendapatan dan keuntungan harta tanah adalah sebanyak RM16.04 bilion, menjadikan jumlah pembayaran balik tertunggak kepada RM37 bilion.
“(Sekitar) 121,000 syarikat berhutang RM19.4 bilion (bayaran balik GST), termasuk beberapa syarikat terkenal di dunia; Petronas sendiri mempunyai jumlah yang besar,” kata Lim.
Beliau berkata wang itu akan dibayar balik dalam tempoh 10 bulan, sambil menambah pihak yang masih belum menerima bayaran boleh menjangkakan menerima bayaran balik dalam tempoh tujuh bulan akan datang.
Lim berkata “cabaran sebenar” bagi kerajaan adalah mengurangkan defisit fiskalnya dari 3.4% kepada 3.0% pada tahun depan.
Beliau berkata yakin dengan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, aliran masuk pelaburan langsung asing dan peningkatan keyakinan susulan pembaharuan institusi, kerajaan akan dapat mencapai sasarannya.
“Kerajaan kini bersih dan kami berhasrat melaksanakan reformasi untuk memastikan kerajaan masa depan juga akan bersih. – 19 Mac, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen