Keputusan kes jutawan Thai buru harimau bintang jadi tumpuan


Premchai Karnasuta, pemilik syarikat pembinaan terkemuka dan antara individu terkaya di Thailand ditahan oleh renjer di taman negara pada Februari 2018. – Gambar AFP, 19 Mac, 2019.

KES membabitkan jutawan Thailand dituduh memburu harimau bintang hitam di kawasan perlindungan haiwan liar menjadi antara keputusan mahkamah dinantikan – kes itu mencetuskan kemarahan rakyat yang jelak dengan rasuah di negara itu.

Premchai Karnasuta, pemilik syarikat pembinaan terkemuka dan antara individu terkaya di Thailand ditahan oleh renjer di taman negara pada Februari 2018.

Dia ditahan bersama tiga yang lain selepas renjer menemui tapak perkhemahan mereka dan mendapati ada senjata serta bangkai binatang termasuk burung Kalij, sejenis rusa dan bangkai harimau bintang hitam yang disiat kulitnya.

Keputusan kes berprofil tinggi itu dijangka dibuat kurang seminggu sebelum pilihan raya umum pada 24 Mac depan, pilihan raya pertama sejak junta merampas kuasa pada 2014, berikrar menghapuskan rasuah dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

Premchai dituduh melakukan kesalahan berkaitan memburu, walaupun beliau menafikan sebarang salah laku dan dibenarkan ikat jamin.

Tetapi gambar harimau bintang yang disiat kulitnya itu menjadi tular, mencetuskan bantahan dengan penunjuk perasaan memakai topeng harimau bintang, selain lukisan grafiti haiwan itu memenuhi dinding di bandar itu selain petisyen dibuat di Change.org mendesak siasatan dilakukan.

Media Thailand mengikut perkembangan kes itu, termasuk siasatan pihak berkuasa terhadap najis manusia yang ditemui di tempat kejadian dan serbuan di rumah Premchai menemui sejumlah gading dan senjata gading.

“Orang miskin sering dihukum kerana memburu untuk memberi makan kepada keluarga, tetapi orang kaya boleh sewenang-wenang memburu demi keseronokan dan tidak takut dihukum,” kata penunjuk perasaan. – AFP, 19 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen