KERAJAAN Perancis memecat seorang pegawai kanan polis semalam, susulan tunjuk perasaan ves kuning yang diadakan di Paris minggu lalu, yang terus memberi tekanan kepada Presiden Emmanuel Macron.
Polis dikatakan gagal mengawal peserta tunjuk perasaan di Paris, hingga ia menjadi ganas.
Kira-kira 5,000 anggota polis bertugas mengawal keadaan di ibu negara Perancis itu dan beberapa kawasan lain, pada Sabtu, iaitu melebihi jumlah ratusan penunjuk perasaan yang berkumpul lebih tujuh jam di Champs-Elysees.
Insiden Sabtu lalu menimbulkan kemarahan peniaga, sekali gus memaksa Macron memendekkan tempoh percutiannya untuk bertemu dengan beberapa menteri kanan.
Ia bagi membincangkan demonstrasi kumpulan ves kuning yang kini berlanjutan hingga minggu ke-18 berturut-turut.
“Kejadian pada Sabtu lalu, khususnya di Champs-Elysess tidak boleh diterima sama sekali dan presiden mengarahkan kerajaan menyediakan laporan menangani insiden itu,” kata Perdana Menteri Edouard Philippe dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi televisyen.
Selepas mengkritik arahan menggunakan peluru getah yang dikeluarkan kepada pasukan keselamatan, Philippe mengumumkan pemecatan ketua polis Paris, Michel Delpuech, 66, dan penggantinya akan dilantik pada Rabu.
Beliau berkata pihak berkuasa Perancis juga akan melarang penganjuran perhimpunan di Champs-Elysees dan kawasan lain, jika mendapati kehadiran “penyangak” di kawasan terbabit.
Pada masa sama, kadar denda bagi individu yang menghadiri perhimpunan haram juga akan dinaikkan, iaitu daripada 38 euro (RM175.70) kepada 135 euro (RM624.10) setiap seorang.
Lebih 100 perniagaan musnah pada hujung minggu lalu di Paris termasuk berpuluh-puluh butik mewah dan restoran di Champs-Elysees.
Sejak hujung Disember lalu, sejumlah penunjuk perasaan ves kuning cedera, tetapi setiap Sabtu, ribuan yang lain akan turun ke jalanan, termasuk kumpulan berhaluan kanan dan kiri selain anarkis yang bertanggungjawab mencetuskan keganasan.
Penunjuk perasaan tegar sudah pun berikrar untuk mencetuskan kekecohan sekali lagi pada Sabtu depan. – AFP, 19 Mac, 2019.
Komen