New Zealand berang kempen Erdogan guna video tembakan masjid


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sedang giat berkempen untuk pilihan raya tempatan bulan ini. – Gambar EPA, 19 Mac, 2019.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan menerima kecaman dari New Zealand semalam kerana menggunakan video insiden tembakan di masjid Christchurch sebagai sebahagian bahan kempen pilihan raya.

Erdogan sedang berkempen untuk pilihan raya tempatan bulan ini, menyiarkan serangan itu sebagai sebahagian serangan terhadap Turki dan Islam secara lebih luas dan menunjukkan video pembunuhan berkenaan pada sesi himpunannya pada hujung minggu lalu.

Timbalan Perdana Menteri Winston Peters membantah tindakan mempolitikkan pembunuhan beramai-ramai itu kerana ia “membahayakan masa depan dan keselamatan rakyat New Zealand di luar negara dan ia sangat tidak adil”.

Peter hari ini berkata beliau akan ke Turki minggu ini atas permintaan Istanbul untuk menghadiri mesyuarat khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Tiga rakyat Turki cedera dalam insiden di masjid itu yang setakat ini mengorbankan 50 jemaah di dua masjid di Christchurch, selatan New Zealand pada Jumaat lalu.

Penembak terbabit, berkulit putih dari Australia membuat rakaman video secara langsung serangan itu dan menyebarkan manifesto 72 halaman di media sosial, mendakwa ia serangan terhadap “penceroboh” Islam.

Manifesto itu turut merujuk Turki dan menara terkenal di Istanbul, Hagia Sofia yang kini menjadi muzium, pernah berfungsi sebagai gereja sebelum dijadikan masjid ketika empayar Ottoman.

Pihak berkuasa New Zealand dengan pantas cuba menghentikan video penembak itu daripada tersebar, dan memberi amaran sesiapa yang berkongsi rakaman itu akan didakwa, sementara Facebook memadam imej daripada ratusan ribu lamannya.

Tetapi pada program kempennya, Erdogan menayangkan video itu dan berulang kali merujuk kepada serangan itu di mana beliau menggambarkan ia sebagai tanda kebangkitan Islamofobia yang tidak diendahkan oleh Barat. – AFP, 19 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen