PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang mendakwa konflik dalaman Kabinet Dr Mahathir Mohamad akan mencetuskan undi tidak percaya terhadap perdana menteri itu.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Marang itu enggan mendedahkan siapa dalam Kabinet Dr Mahathir atau gabungan Pakatan Harapan (PH) yang akan membawa usul itu.
“Mereka yang hendak buat undi tak percaya bukan PAS. Bukan kita. Yang lain nak buat undi tak percaya. Ada pertembungan dalam Kabinet perdana menteri,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada sesi dialog bersama pelajar di Universiti Malaya malam tadi.
Ketika ditemui media selepas itu, Hadi enggan mengulas lanjut tentang pihak yang dipercayai terlibat dalam perkara itu.
Bulan lalu, PAS mendedahkan ada rancangan untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap Dr Mahathir di Dewan Rakyat. Parti Islam itu mendakwa ia akan menyokong Dr Mahathir jika berlaku perkara seumpama itu.
Hadi dan beberapa pemimpin kanan PAS berjanji demikian dalam satu mesyuarat dengan Dr Mahathir sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.
Pengkritik menuduh PAS tidak ikhlas terhadap perdana menteri kerana parti Islam itu kemudian berkempen untuk Umno dalam PRK itu, menentang parti gabungan Dr Mahathir, Pakatan Harapan (PH).
Pemimpin kanan PH juga menafikan ada rancangan seumpama itu untuk menggulingkan Dr Mahathir yang juga pengerusi pakatan itu.
Pada sesi dialog di UM semalam, Hadi berkata orang ramai perlu tunggu dan lihat sama ada undi tidak percaya berlaku dalam sesi Parlimen ini yang dijadualkan tamat pada hujung April.
Katanya, PAS akan menyokong siapa pun calon perdana menteri asalkan individu itu seorang Islam yang mentadbir mengikut prinsip Islam dan mengambil berat tentang masa depan negara.
“Calon perdana menteri kita mahu yang mahu laksana Islam. Sebab itu pada kita tak timbul siapa perdana menteri dan undi tak percaya ini, kita lihat perkembangan mutakhir ini sejauh mana,” katanya. – 19 Mac, 2019.
Komen