Pelajar kelaparan terpaksa kerja, korbankan waktu belajar


Timothy Achariam

Masih ramai pelajar terpaksa bekerja separuh masa untuk mendapatkan sesuap nasi, malah ada yang hanya makan sehari sekali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Mac, 2019.

RAMAI pelajar berdepan situasi sukar di universiti tempatan, sehinggakan mereka tidak mampu membeli makanan, dan ada yang terpaksa bekerja untuk mencari wang mengisi perut masing-masing.

Pelajar Universiti Malaya (UM) Mohd Kamal Haziq Ahmad Rumaizi, pelajar tahun tiga jurusan kaunseling berkata masalah ini benar-benar wujud.

“Pelajar memang berdepan dengan masalah ini. Ramai pelajar terpaksa melaluinya,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di UM semalam.

Beliau berkata UM mengumpulkan data yang menunjukkan lebih 1,000 pelajar dalam kumpulan memerlukan dan perlukan makanan.

Kamal yang berasal dari Kedah berkata beliau berdepan situasi sama sebelum ini dan akhirnya membuat keputusan untuk bekerja separuh masa untuk mencari wang membeli makanan.

“Saya juga buat kerja separuh masa bila berdepan masalah kewangan yang kritikal. Tetapi saya rasa saya masih bertuah kerana ada ibu bapa yang boleh tanggung saya.

“Saya ada kawan-kawan yang betul-betul tidak mampu untuk beli makanan. Mereka tidak ada hari ini kerana mereka keluar bekerja pada waktu malam,” katanya.

Katanya, pelajar yang tidak mampu membeli makanan, kebanyakan ibu bapa mereka tinggal di kampung dan bekerja sebagai penoreh getah atau nelayan.

“Ibu bapa tidak mampu hantar wang, jadi pelajar terpaksa bekerja.”

Menteri Pendidikan Maszlee Malik bertemu pelajar UM semalam. Kementerian Pendidikan akan membantu dalam program bank makanan di 20 universiti awam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Mac, 2019.

Kamal berkata ini kerana UM kampus di tengah bandar, dengan kos sara hidup tinggi dan sewa bilik mahal hingga menyebabkan pelajar tidak makan.

Seorang lagi pelajar, Iman Iskandar, 20, berkata purata wang dibelanjakan untuk makan setiap hari ialah antara RM10 hingga RM15.

“Paling murah RM10 sehari tidak termasuk air dan sarapan. Makanan di sini RM5 ke atas. Susah untuk berjimat, kadangkala saya hanya makan sehari sekali,” katanya.

Pelajar tahun pertama itu berkata beliau terpaksa bekerja separuh masa di syarikat katering untuk mencari pendapatan.

“Saya buat kerja separuh masa di syarikat katering, jadi saya dapat makan,” katanya.

Katanya, beliau mengambil pinjaman pelajaran tetapi ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaannya, termasuk sewa rumah.

“Saya dapat RM3,000 setiap semester. Saya perlu bayar RM2,000 ke atas untuk yuran pengajian, bakinya saya bayar sewa bilik dan kemudian tidak ada baki untuk makanan dan perbelanjaan lain sepanjang semester,” katanya.

Katanya, walaupun makanan di kafeteria kampus lebih murah berbanding makanan di luar, beliau masih tidak mampu.

Isu pelajar universiti kelaparan mendapat perhatian Kabinet selepas beberapa laporan media mengenainya baru-baru ini.

Pelajar di bawah kategori B40 berdepan kesukaran dengan kenaikan kos sara hidup. – 19 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen