PAS, Umno tidak boleh kahwin, kata Hadi


Sheridan Mahavera

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu dan Umno tidak boleh berkahwin kerana mereka seperti adik-beradik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Mac, 2019.

PAS tidak akan berkahwin dengan Umno, kata presidennya Abdul Hadi Awang walaupun kedua-dua pihak menjalinkan kerjasama politik yang rapat sejak akhir-akhir ini.

Hadi berkata “perkahwinan” itu akan menjadi sumbang mahram memandangkan kedua-dua parti seperti adik-beradik, walaupun ada desakan untuk mereka berbuat demikian.

“Macam-macam istilah kononnya PAS nak kahwin dengan Umno. Kita adik beradik nak kahwin macam mana, kalau kahwin sumbang muhrim,” kata Hadi dalam ucapannya pada sesi dialog bersama pelajar Universiti Malaya di Kuala Lumpur, malam tadi.

PAS dan Umno berkempen dan mengumpulkan undi penyokong mereka bersama dalam dua pilihan raya kecil (PRK) terakhir iaitu di Cameron Highlands dan Semenyih, hingga membawa kemenangan kepada parti Melayu itu untuk menang kedua-dua PRK.

Dua minggu lalu, kedua-dua parti yang menjadi musuh sejak dulu lagi, bersaing merebut undi Melayu selama berdekad, mengumumkan mereka akan membentuk satu jawatankuasa kerja untuk meneroka cara meningkatkan kerjasama antara mereka.

Cakap-cakap tentang penyatuan secara rasmi dua parti itu semakin kuat selepas pemangku presiden Umno Mohamad Hasan mencadangkan mereka akan menubuhkan “kerajaan perpaduan” di negeri yang ditadbirnya, iaitu Terengganu, Kelantan, Perlis dan Pahang.

Pelajar mendengar ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada sesi dialog bersama pelajar Universiti Malaya di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Mac, 2019.

Hadi mengaitkan sejarah kerjasama PAS dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) dari 1974 hingga 1978 dan dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan DAP ketika membentuk Barisan Alternatif dari 1999 hingga 2004 dan kemudian Pakatan Rakyat, dari 2008 hingga 2015.

“PAS adalah parti yang diminati semua. BN mahu PAS bergabung atau PH ajak PAS bergabung untuk jatuhkan BN. Dua-dua ini melamar PAS. Tapi PAS lihat dua-dua ini ada masalah,” katanya.

Hadi mendakwa kemenangan di Cameron Highlands dan Semenyih disebabkan umat Islam sudah sedar bahawa kerajaan PH tidak dapat memenuhi janji pilihan rayanya.

“Kita lihat kesatuan umat Islam melalui Cameron Highlands dan Semenyih, menyebabkan PRK kita dapat menang. Bukan mudah, mereka (PH) kuasai kerajaan pusat, kuasai media. Di sini berlaku kesatuan umat Islam dan bagaimana kita nak buat acuan itu (pada masa akan datang) tunggu dan lihat,” katanya.

Ramai bekas ahli PAS terutama dalam PH menyifatkan kerajaan persekutuan PAS-Umno akan mirip seperti Taliban di Afghanistan, berkata bukan Islam akan merana jika kedua-dua parti itu mengambil alih Putrajaya.

Hadi menolak dakwaan bahawa PAS akan jadi ekstremis dan tidak menghormati bukan Islam.

“Ramai yang fitnah kita kata kita perintah macam Taliban. Sedangkan PAS sudah lama perintah dua negeri Kelantan dan Terengganu dan boleh lihat sendiri kedudukan orang bukan Islam di negeri tersebut di mana PAS jaga mereka,” katanya. – 19 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen