Rakyat tidak akan tertipu janji PH hapuskan GST


Diyana Ibrahim

Annuar Musa berkata janji PH menerusi manifesto mereka tidak akan mengugat Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 September, 2017.

RAKYAT tidak mungkin akan tertipu dengan janji Pakatan Harapan kononnya akan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari sekiranya mereka menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Penerangan Umno Annuar Musa.

Malah janji PH menerusi manifesto mereka, kata Annuar tidak akan mengugat Barisan Nasional kerana parti diwakili majoriti kaum Melayu terbesar di negara ini diyakini mempunyai ‘track record’ yang baik.

“Kita kena tengok janji mereka (hapuskan GST) mereka ini siapa, dahulunya mereka bergantung dengan BN maka menjadi kuat namun apabila keluar daripada BN prestasi mereka tidak seberapa.

“Tapi kita pula ada ‘track record’ yang baik, mungkin ada yang kritik BN tentang satu atau dua isu tapi kita yakin ia cuma setakat itu saja. Kerana akhirnya rakyat akan pilih BN berbanding PH yang majoriti dikuasai DAP,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak juga menyatakan perkara sama bahawa BN mempunyai ‘track record’ yang baik.

Dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight, Salleh berkata BN adalah pilihan terbaik kerana konsisten mentadbir negara dan mempunyai hala tuju yang jelas.

Ikrar untuk menghapuskan GST diumumkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semasa sambutan ulang tahun pertama parti itu di Muar, Johor semalam.

Muhyiddin berkata langkah itu adalah untuk mengurangkan beban rakyat berdepan dengan kos sara hidup.

Selain menghapuskan GST, PH juga berikrar untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja RCI mengenai 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

PH juga akan memulakan reformasi institusi secara menyeluruh dengan menghadkan kuasa perdana menteri untuk memecat dan melantik ketua institusi negara.

Tempoh jawatan perdana menteri juga dihadkan selama dua penggal dibawah manifesto PH bagi mengelakkan salah guna kuasa berlaku.

Mengulas lagi mengenai perkara itu, Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata ia juga sebagai salah satu cubaan meraih populariti sedangkan PH sepatutnya menumpukan usaha menyelesaikan masalah dalaman parti mereka.

“Ia bukan mengenai soal nak hapuskan GST atau tidak tapi soalnya ialah perkara utama mereka untuk menyelesaikan perbezaan ideologi dan dasar dibuat bersama antara PH.”

Annuar seterusnya mencabar Bersatu agar menjadi kuasa veto dalam membuat keputusan ketika DAP mempunyai majoriti dalam pegangan kerusi.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Ab Aziz Kaprawi meminta Muhyiddin mengemukakan kaedah lain jika berhasrat untuk menghapuskan GST.

Beliau berkata tawaran Muhyiddin itu akan mengelirukan rakyat memandangkan janji menghapuskan GST tidak realistik dan lebih kepada gula- gula politik.

“Dia sepatutnya “berpijak di bumi yang nyata” bahawa GST adalah kaedah yang diguna pakai oleh hampir semua negara dalam dunia termasuk negara Singapura. 

“Sekiranya Muhyiddin nak menghapuskan GST, persoalan saya apakah kaedah lain untuk mengganti RM41billion daripada GST,” kata timbalan menteri pengangkutan.

Aziz juga mengingatkan Muhyiddin bahawa beliau juga bersetuju dengan keputusan melaksanakan GST semasa memegang jawatan timbalan perdana menteri.

“Dia lupa bahawa dia sendiri bersetuju secara kolektif dalam retreat kerajaan yang melibatkan semua menteri, timbalan menteri serta pegawai tinggi kerajaan bersama pengurusan tertinggi GLC keputusan bersama untuk GST dilaksanakan,” katanya.

Perdana Menteri Najib Razak menyelar PH yang mahu menghapuskan GST dengan bertanya dari mana pembangkang mahu mendapatkan RM41 bilion untuk menggantikan hasil kutipan cukai itu.

Najib berkata PH telah menipu rakyat apabila membuat tawaran demikian. – 10 September, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen