Lagi mangsa skim dagangan forex meragukan di Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim (tengah) bersama pelabur-pelabur yang menjadi mangsa penipuan dagangan forex pada sidang akhbar hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 10 September, 2017.

KIRA-kira dua tahun yang lalu, Tan (bukan nama sebenar) mengenali Lau yang katanya bekerja di sebuah anak syarikat RCFX yang menguruskan perdagangan forex sejak 2014.

Perkenalannya dengan Lau, 26 bermula melalui media sosial sebelum berjumpa di kafe untuk berbincang tentang pelaburan dalam perdagangan forex – yang akhirnya akan lesap.

Tan menyerahkan sejumlah wang kepada Lau sebagai pelaburan dalam dagangan forex. Pada mulanya, pelaburan itu membuahkan hasil namun lama kelamaan Tan sedar ada sesuatu yang tidak kena apabila dia dan beberapa orang lain tidak boleh mengeluarkan wang mereka.

“Masa itu ekonomi tak berapa baik. Jadi macam orang lain, saya mahukan satu pelaburan yang boleh beri pulangan bagus. Lagi pun ada yang berjaya.

“Pulangannya jauh lebih bagus dari apa yang bank tawarkan. Contohnya, kalau anda labur RM10,000, anda akan dapat pulangan sekurang-kurangnya 4% kalau anda dagangkan secara manual. Perdagangan robot (automatik) beri anda lebih daripada 10%. Ia jauh lebih baik dari yang bank tawarkan (kadar faedah),” katanya.

Kata Tan,29, pada mulanya dia dan pelabur lain mendapat keuntungan apabila mereka menyemak akaun dagangan mereka.

Melihat keuntungan itu, mereka mahu mengeluarkan sedikit wang tetapi tidak digalakkan Lau.

“Alasan klasik yang dia berikan ialah itu akan mengurangkan modal kami. Kebanyakan pelabur mendengar cakap Lau dan berfikir semula,” kata Tan pada sidang media awal hari ini di pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Pada 2016, Tan dan pelabur lain mula bertanya kepada Lau tentang pelaburan mereka dan menuntut wang mereka dikembalikan.

“Kami mula rasa ada yang tak kena sebab tiada seorang pun dari kami yang terima pulangan. Beberapa pelaburan melalui dagangan robot juga rugi,” katanya.

Selain Tan, 28 lagi pelabur berumur di antara 20-an dan 50-an juga menyertai skim pelaburan di antara akhir 2014 dan 2016. Kebanyakan mereka terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.

Hasil pelaburan bersama mereka berjumlah RM703,000. Seorang pelabur telah melabur sebanyak RM150,00 – jumlah terbanyak antara mereka.

Kata Tan lagi, Lau setuju untuk mengganti wang mereka tetapi akan memasukkan semua wang di dalam satu akaun.

“Sudah tentu dengan jumlah sebegitu besar akan menimbulkan persoalan kepada pihak bank. Lau mengubah fikirannya dengan mengatakan hanya seorang saja pelabur akan dibayar AS$2,000,” katanya.

Malah kata Tan, pejabat syarikat itu di Persiaran Karpal Singh juga ditutup pada pertengahan tahun lepas.

Dia dan pelabur-pelabur lain sudah berulang-kali berusaha menelefon Lau tetapi tidak berjaya.

“Kami dengar dia ada di Kuala Lumpur, ada bisnes lain dan ada hubungan dengan beberapa individu berpengaruh. Kami bimbang juga apa akibatnya bila kami dedahkan hal ini di media,” kata Tan.

Dia juga berkata syarikat dagangan forex itu telah bertukar nama dan berpindah ke Melaka. Syarikat itu mempunyai hubungan dengan pemaju hartanah di sana.

Katanya lagi dua laporan polis telah dibuat pada 22 Julai tetapi tiada perkembangan selepas itu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Sim menggesa polis menyiasat kes ini kerana kes penipuan seperti ini mesti diambil tindakan untuk mengelakkan ramai lagi mangsa terjebak.

Sim juga berkata langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menyenaraikan syarikat yang menawarkan khidmat kewangan yang tidak berlesen adalah tidak mencukupi.

“BNM perlu mainkan peranan yang lebih besar. Ambil tindakan jika syarikat atau pengendali urusniaga wang lakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.

“Jangan hanya letakkan syarikat-syarikat itu dalam senarai amaran. Macam amaran jangan merokok di kotak rokok, ia tidak beri kesan,” katanya.

Sehingga 28 Ogos, sebanyak 394 syarikat disenaraikan BNM. RCFX tersenarai pada Mac tahun lepas.

Sebelum ini, pengedali skim perdagangan forex yang berpangkalan di Pulau Pinang, JJ Poor to Rich (JJPTR) dan pengendali saham maya, MBI International menjadi tumpuan media.

JJPTR sedang disiasat kerana menipu selepas ia mengalami masalah disebabkan akaun perdagangan tukaran asingnya digodam.

MBI disiasat kerana didakwa menjalankan skim pelaburan piramid haram dan penggubahan wang haram.  – 10 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen