SEORANG Jeneral Angkatan Tentera Amerika Syarikat (AS) menafikan laporan yang mengatakan tentera bercadang untuk mengekalkan kira-kira separuh tenteranya di Syria, lapor agensi berita Anadolu.
Pengerusi Ketua Turus, Jeneral Joseph F. Dunford berkata laporan itu tidak tepat dan menegaskan tiada perubahan mengenai jumlah tentera yang akan dikekalkan di Syria sebagaimana diumumkan Rumah Putih bulan lalu.
“Kita juga akan terus melaksanakan perancangan ketenteraan di sepanjang sempadan Turki-Syria,” kata Dunford dalam satu kenyataan.
Terdahulu dalam satu laporan oleh Wall Street Journal, rundingan sedang berlangsung antara AS, Turki dan sekutu Eropah mengenai zon selamat di timur laut Syria.
Justeru terdapat keperluan untuk mengekalkan seramai 1,000 tentera Amerika di timur laut Syria, lapor akhbar itu memetik seorang sumber yang enggan dikenali.
Tentera AS kini dalam misi memerangi Daesh di kubu terakhir di Baghouz dan negara itu dikatakan akan mengundurkan ratusan tenteranya dari Syria selepas misi itu berakhir. – Bernama, 18 Mac, 2019.
Komen