LEBIH setahun sebelum pembunuhan kejam wartawan Jamal Khashoggi, Putera Mahkhota Arab Saudi Mohammed bin Salman meluluskan kempen rahsia untuk mendiamkan penentangnya, lapor akhbar The New York Times pada Ahad.
Kempen itu termasuklah pemantauan, penculikan, tahanan dan siksaan warga Saudi, kata laporan memetik pegawai AS yang membaca laporan sulit risikan kempen tersebut.
Pegawai AS menggelarkan laporan tersebut sebagai “Saudi Rapid Intervention Group”, kata Times.
Sekurang-kurangnya beberapa misi khianat dilakukan oleh ahli pasukan yang membunuh dan menghapuskan mayat Khashoggi Oktober lalu di pejabat konsulat Saudi di Istanbul, seterusnya mencadangkan pembunuhan itu adalah sebahagian daripada kempen besar-besaran mendiamkan pengkritik putera mahkota yang sangat berkuasa itu, kata laporan itu yang memetik sumber AS dan beberapa sekutu mangsa warga Saudi.
Pembunuhan Khashoggi, seorang penyumbang rencana Washington Post, mencetuskan kecaman dunia termasuklah arahan senator AS supaya Presiden Donald Trump mengheret mereka bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Trump tidak mengikut arahan itu.
Senator yang diberikan taklimat oleh agensi risikan AS, berkata mereka yakin Putera Mohammed bertanggungjawab dalam pembunuhan Khashoggi.
Arab Saudi berulang kali menegaskan putera itu tidak terlibat.
Negara itu pada mulanya mendakwa tidak mengetahui nasib Khashoggi, tetapi kemudian menyalahkan sekumpulan ejennya yang didakwa bertindak tanpa arahan.
Pendakwa raya Arab Saudi sudah mendakwa 11 orang kerana pembunuhan itu.
Antara aktiviti rahsia dilakukan Rapid Intervention Group adalah penglibatan mereka dalam tahanan dan penyiksaan aktivis hak wanita terkenal yang ditahan tahun lepas, lapor Times lagi.
Pasukan itu sangat sibuk sehingga pada Jun, ketuanya bertanyakan penasihat utama kepada Putera Mohammed sama ada mereka akan mendapat bonus Aidilfitri.
Arab Saudi enggan mengesahkan atau menafikan kewujudan pasukan itu, atau menjawab soalan Times berkaitan dengannya.
Kedutaan Arab Saudi di Washington juga tidak menjawab permohonan AFP untuk mengulas isu tersebut.
Kumpulan itu diwujudkan dan diberikan kuasa oleh Putera Mohammed dan diselia oleh Saud al-Qahtani, seorang pengawal diraja, kata sumber AS kepada Times.
Laporan risikan AS tidak menyatakan secara khusus penglibatan putera itu dengan kumpulan tersebut, tetapi berkata ejen menganggap Qahtani sebagai “penghubung” kepada putera.
Qahtani sudah dipecat kerana pembunuhan Khashoggi, tetapi pihak berkuasa Saudi tidak menyatakan sama ada dia didakwa.
Lima yang didakwa berdepan hukuman mati. – AFP, 18 Mac, 2019.
Komen