PARLIMEN hari ini merakamkan ucapan takziah dan menyatakan sokongan kepada New Zealand susulan tragedi serangan pengganas di Chistchurch dan Linden.
“Parlimen (Malaysia) juga berdiri bersama dengan kerajaan dan Parlimen New Zealand dalam menolak keganasan, kebencian dan kekerasan dalam segenap bentuk,” kata Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.
Ahli Parlimen turut bertafakur selama seminit mengenang mangsa terbunuh dalam serangan itu.
Usul tergempar tentang tragedi New Zealand itu dibentangkan Anwar Ibrahim (Port Dickson-PH). Selain Anwar, wakil rakyat yang turut menyokong usul itu ialah Reezal Merican Naina (Kepala Batas-BN), Lim Kit Siang (Iskandar Puteri-PH), Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus-PAS) dan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong-GPS).
Juga menyokong usul tersebut ialah Menteri Gobind Singh Deo (komunikasi dan multimedia) dan Syed Saddiq Abdul Rahman (belia dan sukan) serta timbalan menteri Senator Marzuki Yahya (luar negara) dan Fuziah Salleh (Jabatan Perdana Menteri).
Jumaat lalu, Brenton Tarrant didakwa menyerang dua buah masjid, membunuh 50 orang Islam dan mencederakan hampir 50 yang lain ketika mereka bersiap untuk mengerjakan Solat Jumaat.
Warga Australia berusia 28 tahun itu turut menyiarkan serangan itu secara langsung di Facebook dan sudah ditahan polis. Dia didakwa membunuh pada Sabtu. – 18 Mac, 2019.
Komen