BEKAS perdana menteri Najib Razak menggunakan peluang untuk membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat untuk mengecam Pakatan Harapan yang didakwanya gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.
Menggunakan masa 20 minit diberikan untuk membahaskan titah Agong, Najib mempersoalkan cara PH menangani ekonomi, tanpa mengakui beban dan masalah dihadapi kerajaan sekarang diwarisi daripada pentadbirannya.
Sepanjang berucap, Najib enggan mengambil celahan wakil kerajaan yang dibuat Nik Nadzmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Cha Kee Chin (Rasah) dan Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching).
Semua mereka cuba mencelah Najib sebanyak tiga kali, tetapi ditolaknya dan terus berucap mengecam pentadbiran PH.
“Khazanah membayar dividen RM1 bilion tetapi rugi RM6.3 bilion dan hilang 22% nilai hasilnya,” kata Najib.
“Mengikut standard normal korprat, wajarkah syarikat (Khazanah) membayar dividen selepas kerugian?” soalnya.
Ketika pentadbiran Najib, Lembaga Tabung Haji juga melakukan transaksi meragukan dengan menaikkan keuntungannya pada 2017 bagi membayar dividen kepada pencarum.
Audit bebas terhadap TH dilakukan PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dibentangkan Parlimen Disember lalu, menunjukkan dana tersebut ketika pentadbiran Najib, mengumumkan keuntungan RM553 juta pada 2017 dengan membeli dan menjual saham Bank Islam.
“Broker mengesahkan yang pegangan dijual kepada empat broker dan dibeli balik dalam tempoh empat hari selepas tarikh dagangan dibuat pada harga sama dijual,” kata PwC.
“Kesannya, penjualan pegangan dalam BIMB tidak menghasilkan (sebarang) manfaat tunai kepada Tabung Haji, selain keuntungan dalam Tabung Haji, yang meningkatkan keuntungan Tabung Haji untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember (FY1) sebanyak RM553 juta. Hasil serupa sebanyak RM605 juta juga dibuat pada 2016 dengan jumlah hasil keseluruhan berjumlah RM2.07 bilion,” katanya.
“Hasratnya adalah untuk menaikkan nilai pegangan BIMB dan mengiktiraf keuntungan diperlukan bagi memenuhi sasaran edaran bonus untuk 2017,” kata PwC.

Ahli Parlimen Pekan itu yang dikenali kini dengan slogan “malu apa bossku” juga berkaya, kerajaan baharu meminjam lebih banyak wang berbanding pinjaman RM30 bilion dibuat 1MDB.
“Di bawah BN, hutang kerajaan adalah RM686 bilion pada 2017, tetapi sekarang RM741 bilion (penghujung 2018). Sepanjang 10 bulan lepas, Pakatan menjual RM28 bilion dalam bentuk bon dan RM7.3 bilion dalam bentuk bon Samurai.
“Dana daripada bon ini sepatutnya untuk membayar hutang lain, tetapi sekarang digunakan untuk pembangunan. Jadi, adakah pinjaman RM30 bilion 1MDB adalah masalah besar untuk Malaysia?” soalnya, yang kini berdepan 42 pertuduhan jenayah kerana korupsi dan salah guna kuasa.
Antara pertuduhan dihadapi Najib adalah menerima wang daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Kecaman terakhir dibuat Najib kepada kerajaan baharu adalah penjualan aset kerajaan.
“Ini bukan strategi untuk menyelamatkan ekonomi kita. Penjualan aset adalah tindakan terdesak dan mengancam kemampuan kita untuk menjana pendapatan. Ia (PH) sudah menjual aset Tenaga Bhd dan sekarang Hotel Royale Chulan dan mahu menjual lebih banyak (aset) daripada Felda, TH dan Telekom,” katanya.
Ketika pentadbiran Najib, kerajaan menjual pangkalan tentera udara Sungai Besi kepada 1MDB sebelum ia dijual kembali kepada kerajaan untuk pembangunan TRX dan Bandar Malaysia. – 18 Mac, 2019.
Komen