Facebook terus dikecam walau video insiden tembakan dipadam


Facebook sudah memadam 1.5 juta video rakaman kejadian tembakan di masjid di Christchurch yang dimuat naik di media sosial itu, namun ia terus dikecam kerana gagal menyekat rakaman yang tersebar dengan pantas. – Gambar fail EPA, 18 Mac, 2019.

FACEBOOK sudah memadam 1.5 juta video rakaman kejadian tembakan di masjid di Christchurch yang dimuat naik di media sosial itu, namun ia terus dikecam kerana gagal menyekat rakaman yang tersebar dengan pantas.

Rakaman kejadian itu dirakam menggunakan kamera yang dipasang di badan suspek bersenjata menembak mangsa di dalam Masjid Al Noor di Christchurch selepas melancarkan manifesto perkauman di Twitter.

Facebook berkata ia sudah memadam 1.5 juta video yang dimuat naik dan 1.2 juta lagi video dipadam ketika sedang dimuat naik. Akaun Facebook dan Instagram lelaki bersenjata itu juga sudah dipadam, kata media sosial gergasi itu.

Jurucakap Facebook New Zealand, Mia Garlick, berkata syarikat itu bekerja tanpa henti memadam video itu. Namun, meskipun pihak berkuasa mengeluarkan amaran supaya ia tidak disebarkan, pakar berkata video 17 selama 17 minit itu mudah dimuat naik semula beberapa jam selepas serangan yang membunuh 50 orang itu berlaku.

Menurut angka yang dikeluarkan oleh Facebook sendiri, sekurang-kurangnya 300,000 video tidak disekat sebelum dimuat naik. Manakala tiada data rasmi yang menunjukkan berapa kali video itu ditonton atau dikongsi.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata pihak berkuasa akan mengambil apa sahaja tindakan untuk memadan video tersebut namun ia sebenarnya adalah tanggungjawab Facebook.

New Zealand Herald melaporkan beberapa firma besar juga sedang menimbang untuk menurunkan iklan mereka di Facebook. – AFP, 18 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen