BERIKUTAN terdapat desas-desus yang mengatakan skim pelaburan JJ Poor to Rich (JJPTR) kini kembali, polis berkata kesnya sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersia Pulau Pinang, ACP Abdul Ghani Ahmad berkata polis kini menunggu arahan selanjutkan daripada DPP.
“Kami membuka tiga kertas siasatan terhadap JJPTR, Kesemua kes disiasat di Pulau Pinang sudah diserahkan kepada pejabat DPP.
“Kami menunggu arahan selanjutnya,” katanya kepada The Malaysian Insight melalui mesej hari ini.
Minggu lalu, media tempatan melaporkan JJPTR akan kembali berperasi di bawah platform kewangan maya berbeza yang dipanggil “Nexcoinz” yang menawarkan 25% keuntungan apabila pelaburan “diagihkan”.
Difahamkan pelabur JJPTR dimaklumkan berhubung skim itu melalui saluran perbualan peribadi lama mereka.
Mereka dimaklumkan bahawa mereka boleh menukar pelaburan sebeum ini kepada kupin dalam nilai dolar AS, yang dikenali sebagai kupon Nex. Kupon berkenaan boleh dijual untuk mendapatkan wang tunai atau dilaburkan dalam platform Nexcoinz.
Dalam mesej Whatsapp, pelabur JJPTR memberitahu The Malaysian Insight merkea yang berminat dengan pelaburan baharu itu perlu log masuk ke laman web www.nexcoupon.com untuk mengesahkan kupon mereka bernilai sama dengan JJ.
Ahli JJ yang lama boleh menggunakan ID login dan kata kunci sedia ada, atau merujuk kepada up-line mereka sekiranya terlupa login ID.
Kupon berkenaan bernilai AS$25 (RM105) sehingga AS$1,000. Yang paling murah adalah Kupon A untuk pelaburan berjumlah antara AS$25 hingga AS$100. Yang paling mahal pula adalah Kupon J untuk pelaburan AS$901 hingga AS$1,000.
Kupon berkenaan akan dilancarkan secara rasmi pada 15 September. Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada mereka yang terbabit di sebalik Nexcoinz merupakan individu yang sama menjalankan operasi skim JJPTR.
JJPTR merupakan skim yang diasaskan di Malaysia pada Mei 2015 oleh Johnson Lee, 28. Pelabur ditawarkan pulangan bulanan 20% bagi pelaburan mereka antara AS$25 hingga AS$1,000.
Pada 20 Februari, Bank Negara Malaysia (BNM) menyenaraikan JJPTR, JJ Poor to Rich dan JJ Global Network dalam senarai Amaran Pengguna Kewangan sebagai syarikat yang tidak sah menawarkan khidmat kewangan.
Pada 23 April, Lee mendakwa akaun perdagangan tukaran wang asing JJPTR digodam, menyebabkan kerugian lebih AS$400 juta. Dia berjanji untuk memulangkan semula wang pelabur dan memperkenalkan skim pelaburan baharu.
Pada Mei, polis, BNM dan beberapa agensi berkaitan menyerbu premis JJPTR di Pulau Pinang, membekukan akaun syarikat dan menahan Lee serta dua pembantunya hampir dua minggu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan.
Pada Julai, polis memberitahu pemberita siasatan ke atas JJPTR Pulau Pinang sahaj menunjukkan terdapat pelaburan sebanyak RM239,310, dimana hanya RM30,332 dipulangkan kepada pelabur.
Katanya siasatan dibuat bagi mencari bukti kukuh untuk mendakwa pengendali pelaburan kewangan itu, dan menambah siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – 10 September, 2017.
Komen