KEMENTERIAN Kewangan sedang menyiapkan peruntukan “sangat besar” untuk kumpulan B40 dalam semakan semula Bajet 2019, kata Anwar Ibrahim.
“Dalam perbincangan saya dengan menteri kewangan, beliau kini sedang menyediakan peruntukan lebih besar. Ia belum diumumkan lagi, oleh itu saya tidak boleh dedahkan apa-apa,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu dalam bahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata walaupun RM22.9 bilion yang diperuntukkan kepada kumpulan B40 sudah besar berbanding bajet lain, ia masih tidak mencukupi.
“Saya minta menteri kewangan melihat semula peruntukan untuk kumpulan B40 yang tidak berkemampuan kerana jumlah itu masih tidak mencukupi.
“Contohnya isu pelajar universiti dan kolej yang tidak cukup duit hendak makan. Kerajaan perlu ambil tindakan serta-merta bagi menghentikan keadaan ini.
“Pelajar yang lapar tidak boleh belajar dengan baik jika mereka tidak cukup makan,” kata presiden PKR itu.
Dalam ucapannya, Anwar berkata kemiskinan melanda semua bangsa, agama dan kawasan.
“Pada zaman Tun Razak, kemiskinan tertumpu di kawasan luar bandar. Tetapi hari ini, ada orang miskin di bandar kecil dan kota juga dan semua bangsa walaupun Melayu masih majoriti dalam golongan miskin.
“Oleh itu, apa yang diperlukan ialah dasar tindakan afirmatif berdasarkan keperluan,” katanya.
Anwar berkata jumlah golongan miskin 190,534 dengan kemiskinan tegar 55,981.
Beliau berkata menurut statistik itu, Sarawak mempunyai jumlah tertinggi dengan 59,095 sementara Sabah seramai 39,715, diikuti Kelantan 38,661.
“Dalam 190,534 golongan miskin itu, 71,717 (38%) bekerja sendiri sementara 63,393 (33%) pekerja bergaji. Selebihnya 55,424 (29%) tidak bekerja.
“Kemiskinan bandar sekitar 107,114 (56%), lebih tinggi berbanding kemiskinan di luar bandar 83,420 (42%).”
Anwar berkata beliau terkejut data kemiskinan menunjukkan kemiskinan lebih tinggi di kawasan bandar.
“Oleh itu saya mencadangkan kaji selidik dibuat untuk mendaftarkan semua golongan miskin di kawasan luar bandar,” katanya. – 18 Mac, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Lan Lan · Ulasan