DEWAN Rakyat akan membahaskan petang ini usul mengutuk insiden keganasan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, kata Speaker Mohamad Ariff Md Yusof.
“Perbahasan ditetapkan selama satu jam,” katanya.
Menurut Mohamad, usul itu akan dibahaskan mulai 4.30 petang.
Usul tergempar itu dikemukakan Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim.
“Usul ini berkaitan dengan kepentingan orang ramai memandangkan insiden ini melibatkan isu umat Islam dan agama lain sehingga mendorong melakukan keganasan dan kekejaman.
“Usul ini sewajarnya perlu disegerakan memandangkan implikasi insiden ini menggugat keharmonian dan keamanan jika tidak dibendung segera,” kata Anwar ketika membentangkan usulnya.
Usul Anwar itu sebagai menyatakan pendirian tegas Parlimen Malaysia mengutuk serangan ke atas jemaah di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood di Christchurch.
Ia juga bagi menyatakan simpati kepada mangsa dan keluarga mereka akibat keganasan tersebut, serta rakaman terima kasih kepada kerajaan New Zealand dan Perdana Menteri Jacinda Ardern atas tindakan tegas dan segera menanganinya.
Dalam serangan pada Jumaat lalu, 50 orang terbunuh sementara 50 lain cedera, termasuk tiga rakyat Malaysia.
Menurut Anwar, serangan pengganas pada Jumaat lepas mengejutkan dunia, dilakukan ke atas mangsa semata-mata kerana pegangan agama mereka.
“Serangan tersebut tiada tujuan lain melainkan untuk menanam kebencian dan mendorongkan keganasan di merata dunia,” katanya.
Jelas Anwar, serangan itu adalah satu perbuatan keji yang dilakukan oleh pengecut, dan ia wajar dikutuk.
“Kita tidak harus membenarkan sesiapa jua untuk merosakkan kerukunan yang telah terbina atau untuk menanam rasa takut antara satu sama lain,” katanya.– 18 Mac, 2019
Komen