MCA kekal dalam BN kerana Umno kuat, kata Nazri 


Asila Jalil

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz berkata, Umno memiliki gandingan ahli Parlimen yang paling kuat setakat ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 18 Mac, 2019

MCA membuat keputusan untuk kekal bersama gabungan Barisan Nasional kerana ia yakin dengan Umno sebagai sebuah parti yang kuat, kata ahli Umno yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz.

“Saya rasa mereka memutuskan untuk kekal kerana Umno kuat. Kita ada wakil ahli Parlimen paling kuat setakat ini,” kata Nazri ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

“Kenapa mereka mahu kekal dalam BN jika mereka tidak yakin dengan Umno. Jika tidak mereka pasti sudah lari,” katanya.

MCA semalam mengumumkan keputusan untuk kekal sebagai parti komponen BN.

Jawatankuasa pusat parti itu dalam satu kenyataan bersama berkata keputusan itu dibuat bagi memperkukuhkan kerjasama antara pelbagai kaum dan untuk memastikan tiada kecenderungan terhadap politik berdasarkan kaum.

Nazri juga berkata kerjasama Umno-PAS akan diteruskan kerana ia boleh membawa kejayaan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Kerjasama itu setakat ini berjalan dengan baik sehingga memberi BN kemenangan pada pilihan raya kecil di Cameron Highlands dan Semenyih, katanya.

“(Umno) masih lagi parti yang mendapat sokongan dari rakyat dan kerjasama PAS-Umno juga berjalan dengan baik.

“Kita akan pastikan ia terus berjaya dan kita akan teruskan sehingga PRU15,” kata Nazri.

Beliau menambah, apa yang jad keutamaan ketika ini adalah kelangsungan Umno dan parti-parti lain.

“Saya sudah sebut sebelum ini yang kita akan utamakan kepentingan orang Melayu dan Islam.

“Kita akan jaga orang lain bila kita kuat dan selepas kita menang,” tambah Nazri.

MCA baru-baru ini mengulas mengenai kerjasama Umno-PAS dengan berkata, “Apabila sebuah parti komponen BN cuba jalin kerjasama di luar gabungan, jangan lupa untuk mematuhi konsensus dan kepelbagaian BN”.

MCA juga berkata parti itu berdepan kesukaran membuat keputusan penting iaiut sama ada keluar dari BN dan membiarkan kerjasama Umno-PAS memimpin pembangkang atau terus kekal dalam BN dan menguatkan kerjasama antara pelbagi kaum. – 18 Mac, 2019


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen