WARGA Malaysia di Christchurch mulakan kutipan dana bagi membantu rakan senegara yang cedera berikutan serangan masjid Jumaat lalu.
Dana berkenaan akan disalurkan terus kepada keluarga tiga mangsa terbabit, kata kumpulan berkenaan dan menambah inisiatif itu dibuat oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington.
“Tujuan kutipan dana ini dibuat adalah untuk mengurangkan beban kewangan keluarga mangsa warga Malaysia.
“Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada Rahimi Ahmad, Mohd Tarmizi Shuib dan Mohd Nazril Hisham Omar,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan ringkas.
Rahimi, Tarmizi dan Nazril sedang sembahyang di Masjid Al Noor di Deans Avenue apabila seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan ketika solat Jumaat. Suspek turut melakukan serangan di Masjid Linwood berhampiran.
50 orang dilaporkan terbunuh dan ramai yang cedera. Terdapat mangsa yang masih hilang termasuk anak lelaki Tarmizi berusia 17 tahun, Mohd Haziq.
Tiga warga Malaysia berkenaan telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru.
Pagi ini, Rahimi menjalani satu lagi pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru di tulang belakangnya.
Exco kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh dan Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz, yang berada di Christchurch bersama keluarga Rahimi berkata, mangsa yang berasal dari negeri itu, akan menjalankan satu lagi pembedahan yang dijadualkan pada Rabu.
“Beliau juga menjalani imbasan CT hari ini. Keadaannya stabil,” kata Azrul kepada pemberita menerusi WhatsApp.
Derma boleh dibuat kepada Tabung Bantuan Rakyat Malaysia Christchurch menerusi nombor akaun ANZ 06-0817-0689455-00.
Akaun berkenaan yang diuruskan bersama oleh warga Malaysia Dr Ahmad Sufian Ab Rahman, Nor Aida Baharuddin dan Wahidah Abdullah, akan dibuka sehingga 19 April.
Menurut mereka tiada resit rasmi akan dikeluarkan bagi derma itu.
“Oleh kerana kami bukan organisasi rasmi, kami mohon maaf bahawa tiada resit rasmi akan dikeluarkan.”
Sebarang pertanyaan boleh hubungi Nor Aida di talian +6422-155-9397 atau [email protected], dan Wahidah di talian +6421-551-955 atau [email protected]. – 18 Mac, 2019
Komen